Saran bercuti secara sukarela: Shamsul Iskandar

Shamsul Iskandar -Foto Bernama
Shamsul Iskandar -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyarankan agar mana-mana pemimpin politik yang didakwa terlibat dengan salah laku agar bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memberi ruang siasatan dijalankan sepenuhnya dengan bebas dan adil.

“Pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku boleh membantu agensi penguat kuasa kita dengan sekurang-kurangnya bercuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai sepenuhnya.

“Ia menunjukkan kepada masyarakat bahawa para pemimpin ini tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi, kedudukan dalam parti apatah lagi di belakang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Iskandar berkata, bagi memastikan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa terpelihara, sudah tiba masanya untuk anggota pentadbiran berpegang kepada prinsip yang dilaungkan.

“Jasa, bakti dan kedudukan penting seseorang itu tidak boleh mengaburi kedaulatan undang-undang. Undang-undang harus ‘buta’ daripada ketidakadilan.

“Jika seseorang pegawai kerajaan berhadapan dengan siasatan pihak berkuasa, beliau akan dilepaskan daripada tugasan hakiki buat sementara waktu dan jika didakwa di mahkamah, beliau akan digantung tugas serta-merta.

“Atas prinsip hak kesaksamaan dan kesamarataan di bawah undang-undang menyatakan bahawa anggota pentadbiran termasuk menteri dan Exco negeri sekurang-kurangnya diberikan layanan yang sama ataupun lebih tegas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kemusykilan orang ramai berhubung proses siasatan polis terhadap penyebaran video lucah dan bukannya ketulenan video melibatkan seorang menteri membuktikan rakyat masih meragui tahap kebebasan agensi penguat kuasa.

“Keraguan masyarakat akan menjadi lebih parah sekiranya pihak berkuasa dilihat membuat siasatan bagi tujuan melindungi individu yang berkuasa," katanya.