Malaysia lakar sejarah, RUU undi 18 tahun lulus

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof yang mengumumkan perkara itu berkata, sejarah baharu Malaysia berjaya dicipta hari ini.

“Lebih 2/3 undi. Tahniah, melakar sejarah hari ini, tepat setahun Parlimen bersidang," katanya di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa gembira melihat proses demokrasi berparlimen negara berjalan lancar apabila Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Beliau berkata, keputusan 211 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 menggambarkan kematangan dan pencapaian rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

“Ini hari bersejarah bagi Malaysia. Tidak pernah berlaku. Saya sudah biasa dengan Parlimen tapi ini kali pertama satu undang-undang diluluskan dengan (sokongan) semua pihak. Tidak ada satu pun undi menolak.

“Ini era baharu yang mana parti lawan pun nampak kebaikan tindakan diambil kerajaan ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas menggulung RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Seramai 211 menyokong usul itu dan tiada ahli Parlimen yang menolaknya dalam undi belah bahagi yang diadakan selepas perbahasan oleh wakil-wakil rakyat pemerintah dan pembangkang.

Artikel Berkaitan:

RUU itu lulus dengan sokongan 2/3 Dewan Rakyat.

Ia adalah pindaan pertama perlembagaan sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.