Fizo, Mawar dinasihat cari jalan selesai hadanah anak

Fizo dan Mawar
Fizo dan Mawar
A
A
A

MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam semalam menasihatkan pasangan selebriti, Fizo Omar dan bekas isterinya, Mawar menyelesaikan isu permohonan interim hadanah terhadap anak tunggal mereka secara baik.

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid berkata, jika proses perceraian antara Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 34, dan Mawar Abdul Karim, 30, boleh dilakukan dengan baik, mahkamah juga berharap supaya permohonan interim hadanah dapat diselesaikan dengan cara sama.

Ia berikutan Fizo tidak bersetuju dengan satu daripada tuntutan dalam permohonan interim hadanah yang difailkan oleh Mawar pada 26 Jun lalu.

“Permohonan difailkan dan mahkamah cadangkan untuk kedua-dua pihak cari penyelesaian terlebih dahulu.

“Memandangkan kes perceraian dibuat dengan cara baik, mahkamah ingin mengambil kesempatan dengan cara itu dipanjangkan kepada soal penjagaan anak sekiranya boleh,” katanya.

Terdahulu, Peguam Zulkifli Che Yong berkata, afidavit permohonan interim itu disampaikan kepada Fizo pada 10 Julai lalu dan pihaknya difahamkan pelakon itu memfailkan afidavit balasan, semalam.

Fizo bagaimanapun berkata, tempoh tiga hari bekerja yang diberikan itu terlalu singkat untuk memberi masa secukupnya bagi beliau membalas afidavit itu.

Beliau juga memberitahu mahkamah, walaupun beliau tidak membantah permohonan interim hadanah itu, tetapi beliau tidak bersetuju dengan terma dalam permohonan membabitkan hak lawatan dan hak bermalam.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak pertikaikan hak penjagaan cuma saya membantah hak lawatan dan bermalam. Berdasarkan kepada permohonan, anak tidak dibenarkan bermalam dengan saya sehingga berusia empat tahun,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos untuk keputusan permohonan interim itu.

Sementara itu ketika ditemui di luar mahkamah, Fizo yang tidak diwakili peguam berkata, beliau percaya akan ada jalan penyelesaian antaranya dengan Mawar.

“Ini bukan pergaduhan cuma sekarang dalam tempoh perbincangan dan kami hampir jumpa persetujuan.

“Esok proses sulh akan diadakan (antaranya dengan Mawar). Sebelum bercerai anak banyak kali bermalam dengan saya,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, media melaporkan, kemelut rumah tangga Fizo Omar dan Mawar, akhirnya terjawab apabila pasangan itu sah bercerai talak satu, jam 10.45 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.