Sokongan pendeposit kepada TH kekal - Fuziah

Fuziah
Fuziah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keyakinan pendeposit kepada Tabung Haji (TH) kekal utuh meskipun berhadapan dengan pelbagai isu sebelum ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, malah selepas pengumuman hibah 2018 pada April lalu, keyakinan kepada TH digambarkan dengan pertambahan bilangan pendeposit baharu dan jumlah simpanan yang konsisten.

"Pendeposit baharu bagi tempoh Januari 2019 sehingga Mei 2019 (selepas pemulihan dan penstrukturan semula TH) adalah sebanyak 133,000 orang dengan jumlah deposit RM83 juta," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hibah TH pada kadar 1.25 peratus

Fuziah menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang meminta kerajaan menyatakan berapakah perbezaan jumlah simpanan pendeposit TH sebelum dan selepas pengumuman bonus dan berapakah jumlah simpanan pendeposit yang dikeluarkan selepas pengumuman bonus.

Jelas Fuziah, bagi tempoh April sehingga Jun 2019 (selepas pengumuman hibah pada April 2019), TH mencatatkan pertambahan pendeposit baharu melebihi 46,000 orang.

"Selain itu tiada sebarang pengeluaran yang luar biasa sehingga Jun 2019. Ini menggambarkan keyakinan pendeposit terus konsisten terhadap TH.

"Bagi urusan simpanan dan pengeluaran, trend yang sama dilihat bagi tahun sebelum ini iaitu pengeluaran lebih tinggi sebaik sahaja pengumuman hibah dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, jumlah simpanan terkumpul pendeposit pada 4 April 2019 iaitu sebelum pengumuman hibah 2019 adalah berjumlah RM74.1 bilion.

"Sementara itu simpanan terkumpul pendeposit pada 31 Mei 2019 adalah berjumlah RM71.1 bilion.

"Pengeluaran yang tinggi ini adalah menjadi kebiasaan seperti tahun-tahun sebelum ini selepas pengumuman hibah diisytiharkan," katanya.

Pada 4 April lalu, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.