Orang ramai diminta salur maklumat penjualan pil gugur janin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk Misoprostol dan Mifepristone dalam talian yang digunakan untuk tujuan menggugurkan janin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua produk tersebut merupakan produk tidak berdaftar dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia.

Noor Hisham berkata, pihaknya memandang serius isu penjualan produk ini dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenainya.

"Sebarang aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan yang meragukan boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.

"Sejak 2016, 16 serbuan yang mensasarkan produk-produk ini telah dilaksanakan dengan 28 bilangan rampasan bernilai RM97,578. Serbuan ini telah dilaksanakan susulan aktiviti risikan forensik siber yang rumit dan rapi, mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi mengelakkan aktiviti penjualan dapat dikesan oleh pihak berkuasa, modus operandi yang digunakan bagi penjualan produk ini adalah menggunakan medium internet, aplikasi komunikasi internet dan platform e-dagang.

"Memandangkan aktiviti penjualan ini semakin serius, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta media sosial dalam mengambil tindakan menyenarai hitam penjual yang menjual produk ini di platform mereka.

"Bagi penjual yang menjual dalam laman web peribadi, domain mereka akan disenaraikan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan sekatan. Dari tahun 2016 hingga kini, sebanyak 225 laman sesawang telah dipantau dan diprofil dan daripada jumlah tersebut, 98 laman web telah dihantar kepada SKMM, Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan," katanya.

Jelasnya, sumber pembekalan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar disyaki diperolehi secara haram di dalam negara dan melalui pembelian secara dalam talian dan penyeludupan dari negara luar.

Artikel Berkaitan:

"Penghantaran pil Misoprostol kepada pembeli adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier. Penjual menggunakan identiti palsu dan alamat tempat penjualan palsu.

"Oleh itu, kerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), CyberSecurity, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diperlukan dalam usaha mengekang kewujudan laman sesawang dan sosial yang dikesan melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan. KKM turut menyertai jaringan operasi antarabangsa seperti Interpol dan agensi kesihatan luar negara dalam usaha membanteras aktiviti sedemikian," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, penjualan produk-produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

"Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian, tidak mudah terpedaya dengan iklan dan maklumat yang disiarkan serta memastikan produk-produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan. Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!