Isu RM1 bilion: Kerajaan tuntut bayaran projek belum dilaksana: Tun M

FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan menuntut semula lebih RM1 bilion daripada syarikat China yang terlibat projek pembinaan saluran paip gas dan petroleum.

Dr Mahathir berkata, tuntutan itu dibuat berikutan syarikat itu didapati gagal mematuhi kontrak yang ditetapkan walaupun telah menerima bayaran.

Menurutnya, kerajaan telah membayar hampir sepenuhnya wang biaya projek kepada syarikat itu dan hanya menuntut semula kos bayaran bagi kerja-kerja yang tidak disiapkan.

“Bayaran sebanyak 80 peratus telah dibayar tetapi hanya siap 13 peratus. Jadi kerajaan ada hak untuk menuntut semula bayaran itu.

“Disebabkan projek itu dibatalkan, jadi kerajaan menuntut bayaran untuk kerja-kerja yang belum dibuat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Jelas Dr Mahathir, tindakan menuntut semula bayaran kontrak berkenaan adalah tanggungjawab beliau selaku perdana menteri dan tindakan itu termaktub dalam kontrak.

“Mereka mengambil 80 peratus daripada bayaran kontrak tetapi hanya buat 13 peratus jadi bahagian yang tidak disiapkan, kerajaan tuntut semula wang berkenaan.

“Saya tidak tahu kenapa China tidak suka tindakan ini kerana kerajaan ambil bayaran daripada kerja-kerja projek yang mereka tidak laksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Awal bulan ini kerajaan mengarahkan HSBC memindahkan wang syarikat itu yang dikendalikan sebuah firma akauntan China kepada Suria Strategic Resources iaitu syarikat milik Kementerian Kewangan.