Pelajar akan lebih baik: Exco

128770
128770
A
A
A

SEREMBAN - Pendidikan agama di sekolah mampu menghasilkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik malah membentuk sahsiah diri.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, beliau tidak melihat isu memberi penekanan pendidikan agama di sekolah boleh memberi masalah.

“Saya yakin mana-mana pelajar sama ada beragama Islam atau tidak, jika kembali kepada agama akan menjadi individu lebih baik dan berjaya.

“Lagipun tiada agama yang mengajar penganutnya perkara tak baik dan saya tak nampak isu agama jadi masalah kerana dapat bentuk keperibadian pelajar jadi lebih baik,”katanya selepas merasmikan program Back To School Dun Ampangan di pasar raya Mydin, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa sekolah kebangsaan di Malaysia kini telah berubah ke arah menjadi sekolah agama.

Dr Mohamad Rafie berkata, sistem pendidikan hari ini seharusnya tidak hanya melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik malah turut mampu menghasilkan mereka yang jujur, amanah dan bertanggungjawab.

“Dari aspek sistem pendidikan keseluruhannya, saya melihat ada beberapa perkara perlu diperbaiki supaya keadaan jadi lebih baik.

“Kajian itu perlu dibuat secara menyeluruh dan benar-benar sesuai dalam konteks pendidikan sekarang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mendukung titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya generasi muda dididik dengan pendedahan kepada moral dan akhlak yang baik agar mereka menjadi generasi penuh bertanggungjawab pada masa hadapan.