Logo UTM kini di pesawat AirAsia

Raja Zarith Sofiah bergambar dengan AirAsia Airbus A320 bernombor pendaftaran 9M-AJE.
A
A

KULAI - Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melakar sejarah apabila logonya kini diletakkan di sebuah pesawat syarikat penerbangan AirAsia Airbus A320 bernombor pendaftaran 9M-AJE.

Naib Canselor UTM, Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, UTM-AirAsia Livery dilihat sebagai salah satu inisiatif penjenamaan UTM serta merupakan sebuah langkah berani untuk menempa nama di persada dunia bagi menyokong agenda pengantarabangsaan universiti.

Menurutnya, pelancaran UTM-AirAsia Livery turut menyokong Bidang Tumpuan Utama keenam dalam Pelan Global Universiti 2012-2020 Fasa III UTM iaitu Kesohoran Global dan Penjenamaan.

"Tercapainya realiti UTM-AirAsia Livery ini bertitik tolak daripada Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menjemput Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes menyampaikan sebuah syarahan perdana di UTM pada 18 September 2017.

"Demi memenuhi permintaan permaisuri, Tony mengumumkan persetujuan beliau dan hari ini menyaksikan pelancarannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran UTM-AirAsia Livery di Senai Business Aviation Terminal, di sini hari ini.

Raja Zarith Sofiah, Tony (kiri) dan Ismail (kanan) menyempurnakan pelancaran UTM-AirAsia Livery semalam.
Raja Zarith Sofiah, Tony (kiri) dan Ismail (kanan) menyempurnakan pelancaran UTM-AirAsia Livery semalam.

Pada majlis berkenaan, Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran berkenaan.

Hadir sama Tan Sri Tony Fernandes, Ahli Lembaga Pengarah UTM, Datuk Ismail Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Wahid berkata, UTM melalui pakar dari Fakulti Alam Bina dan Ukur yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar diketuai Azari Mat Yasir memainkan peranan dalam reka bentuk sehingga terhasilnya UTM-AirAsia Livery.

"Pelancaran livery ini telah menjadikan warga UTM dan 180,000 alumninya di seluruh dunia serta rakan strategiknya berasa bangga dan teruja apabila projek berkenaan menjadi realiti," katanya.

Beliau berkata, UTM dan AirAsia menandatangani sebuah surat perjanjian kerjasama pada 2009 yang membawa kepada pelbagai kolaborasi seperti penyelidikan, perkongsian ilmu dan kepakaran, penempatan kakitangan, program mobiliti pelajar dan penyediaan platform kepada penuntut untuk menjalani latihan praktikal seterusnya membina kerjaya bersama AirAsia.

"Pada tahun berikutnya, Tony menerima anugerah ijazah Doktor Kehormat dalam bidang inovasi perniagaan pada majlis konvokesyen ke-44.

"UTM berharap selari dengan pelancaran UTM-AirAsia Livery ini akan dapat membantu penjenamaan universiti agar lebih dikenali di serata dunia terutama di rantau Asia Tenggara.

"UTM menawarkan program Pengurusan Penerbangan menerusi Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) serta Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik) di bawah Fakulti Kejuruteraan yang menyediakan graduan sesuai dalam pasaran kerja industri penerbangan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia