Reformasi Peladang 2019 meriah, sasar sejuta ahli

 Wan Kharizal menyampaikan sijil Kursus Cerna Mindatani kepada Haslima Romli yang mengikuti seminar pada Program Reformasi Peladang Perlis 2019 semalam, sambil diperhatikan Tengku Aziz (tiga dari kiri).
Wan Kharizal menyampaikan sijil Kursus Cerna Mindatani kepada Haslima Romli yang mengikuti seminar pada Program Reformasi Peladang Perlis 2019 semalam, sambil diperhatikan Tengku Aziz (tiga dari kiri).
A
A
A

KANGAR - Program Reformasi Peladang Perlis 2019 yang dianjurkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Pertubuhan Peladang Kawasan Mata Ayer di sini, mendapat sambutan hangat kira-kira 1,000 ahli peladang dan penduduk setempat dari pelbagai lapisan umur.

Program yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini, menyediakan beberapa segmen dengan aktiviti menarik, santai serta ilmiah untuk manfaat para tetamu.

Majlis perasmian program ini yang berlangsung semalam disempurnakan secara bersama Ahli Jemaah Pengarah Nafas yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perlis, Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar dan Ahli Jemaah Pengarah Nafas,Wan Kharizal Wan Khazim.

Tengku Aziz berkata, penganjuran program ini melibatkan beberapa aktiviti menarik antaranya Cerna Minda Tani, Kursus Agropreneur Muda, Jualan Untuk Kita yang menyediakan jualan ayam dengan harga promosi, Ziarah Peladang, aktiviti sukan dan santai-Nostalgia Desa.

Segmen untuk kanak-kanak, Agrokids serta pameran daripada jabatan dan agensi serta syarikat swasta turut disediakan.

Katanya, kursus dan seminar yang diadakan dapat memberi pendedahan dan latihan secara teori dan praktikal kepada ahli-ahli peladang dan juga penduduk setempat yang berminat untuk meneroka industri pertanian.

"Untuk makluman, program ini dilaksanakan di 29 lokasi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.

"Tujuannya untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara Nafas, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta bersama-sama lebih 900,000 ahli peladang seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan program ini juga menunjukkan komitmen Nafas dalam mencapai misi membina pergerakan pertubuhan peladang yang berdaya maju serta efektif dalam membentuk masyarakat tani yang unggul," katanya.

Sasar 1 juta keahlian

Di KOTA BAHRU semalam, Program Reformasi Peladang Pengkalan Chepa yang diadakan di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, turut menerima kehadiran lebih 1,000 ahli.

Program yang berlangsung selama dua hari itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa yang turut menanam pokok bidara sebagai simbolik kepada pertanian ke arah kemajuan.

Menurut Husam, pembabitan Nafas akan membantu peladang memasuki era baharu dalam pengeluaran dan pemasaran produk bermutu tinggi.

 Husam (empat dari kiri) dan Mohd Hisyamuddin (lima dari kiri) bersama peserta yang menghadiri Program Reformasi Peladang Pengkalan Chepa di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu semalam.
Husam (empat dari kiri) dan Mohd Hisyamuddin (lima dari kiri) bersama peserta yang menghadiri Program Reformasi Peladang Pengkalan Chepa di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu semalam.

Katanya, ia selaras dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu keselamatan makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

“Bagi memastikan pembangunan agromakanan negara terus kompetitif, perhatian perlu diberikan kepada usaha meningkatkan daya saing membabitkan golongan sasar.

“Ia menerusi Reformasi Pertanian iaitu penggunaan teknologi moden serta mekanikal bagi memperkasakan sektor pertanian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Mohd Hisyamuddin Ghazali memberitahu, pihaknya menyasarkan sejuta keahlian di kalangan belia menjelang pertengahan tahun depan.

Menurutnya, buat masa ini keahlian sudah mencapai 900,000 termasuk 80,000 daripadanya merupakan ahli di Kelantan.

Katanya, Nafas optimis untuk mencapai hasrat itu antaranya mengadakan Program Reformasi Peladang di 29 lokasi di seluruh negara.

“Pelbagai aktiviti dijalankan bagi menarik penyertaan ahli baharu terutama dalam kalangan anak muda dan wanita untuk menjadi ahli antaranya Kursus Agropreunuer Muda, Jualan Untuk Kita dan Ziarah Peladang.

“Selain itu kita turut mempromosikan anak-anak syarikat Nafas termasuk mengetengahkan Dana Peladang Kebangsaan yang diperuntukkan untuk ahli peladang membuat pinjaman,” kataya.