Litar pintas punca kebakaran

No Image Caption
A
A
A

KUALA LANGAT - Litar pintas dikenal pasti sebagai punca kebakaran rumah di Jalan Utama, Kampung Endah, Kuala Langat yang mengorbankan dua beradik, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kebakaran berlaku daripada litar pintas dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.

"Kebakaran melibatkan sebuah kampung yang 100 peratus kayu dan hangus tidak sampai sejam.

“Rumah ini didiami lima sekeluarga dan ketika kejadian hanya ada dua mangsa perempuan adik beradik dalam rumah, abang mangsa di luar untuk makan manakala ibu bapa di Pelabuhan Klang untuk membekal makanan kepada petugas kebakaran kilang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azizan berkata, berdasarkan keterangan bapa saudara mangsa, kedua-dua remaja perempuan itu berlari-lari di dalam rumah untuk cuba melepaskan diri namun gagal.

“Kedua-dua mangsa dicam dan disahkan oleh ibu bapa serta bapa saudara, proses bedah siasat juga sudah dilaksanakan dan punca kematian akibat terbakar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor Nur berkata, mayat kedua-dua pelajar tingkatan tiga dan satu itu terperangkap di dalam bilik tidur mereka ketika api sudah marak.

Menurutnya, mayat mereka ditemui dalam bilik yang sama oleh anggota bomba dan penyelamat setelah kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan pada jam 2.48 pagi dan dua jentera bomba masing-masing sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan KLIA bersama 17 anggota digegaskan ke tempat kejadian dan tiba 15 minit kemudian.

“Ketika sampai api sedang marak membakar rumah yang diperbuat daripada papan itu dan bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran dua minit kemudian dan api dipadamkan sepenuhnya selepas 10 minit,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Toyyibin Kampung Endah Kuala Langat, sekitar jam 4 petang.