MCA nafi Kojadi pulangkan dana 1MDB

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd (Kojadi) telah memulangkan dana yang diterima daripada Yayasan 1MDB kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa sebanyak RM925 juta dana berkaitan 1MDB telah dikembalikan kementerian itu merangkumi RM6.1 juta daripada Yayasan 1MDB.

Beliau turut menyindir Guan Eng yang memuji Pengerusi Kojadi, Ng Peng Hay kononnya selepas beliau berusaha untuk mengembalikan wang milik 1MDB kepada kerajaan sedangkan koperasi itu tidak berbuat demikian.

“Lim Guan Eng puji Ng Peng Hay. (Individu) yang tak pulangkan duit dia puji lagi.

“Katanya ada lebih RM900 juta telah dipulangkan, itu yang dia tak faham kerana wang itu dari 1MDB. Tiba-tiba dia kata ada RM6.1 juta dipulangkan, itu bukan dari Koperasi Kojadi.

“Saya boleh sahkan kita tak ada pulangkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis One Belt One Road dan Undang-undang e-dagang China di Wisma MCA, hari ini seperti dilaporkan Malaysiakini.

Tambah Ka Siong, semua pihak harus memahami bahawa Kojadi dan MCA adalah dua organisasi berbeza.

“Benar Kojadi diasaskan oleh MCA tetapi bukan semua ahli parti adalah ahli koperasi tersebut. Mereka perlu menabung di Kojadi barulah layak menjadi ahli Kojadi.

Artikel Berkaitan:

“Kini koperasi ini memiliki ahli koperasi seramai 60,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum. Mana mungkin untuk ahli MCA saja.

“Guan Eng tidak memahami apa itu Akta Koperasi. Parti politik bukanlah pertimbangan dalam kelulusan pinjaman. Sebaliknya, peminjam mestilah ahli koperasi, bukan ahli parti politik,” tegasnya.

Ditanya adakah Kojadi akan memulangkan dana yang diterima daripada Yayasan 1MDB, beliau tidak menjawab secara langsung sebaliknya menegaskan dana itu bukan datangnya dari SRC, 1MDB atau bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pertikaian sekarang ini, kita persoalkan mengapa hanya ditujukan kepada Kojadi. (Dana Yayasan 1MDB ini juga) diberikan kepada pemandu teksi, golongan miskin,” tegasnya.

Semalam Guan Eng berkata, sebanyak RM925 juta dana berkaitan 1MDB telah dikembalikan setakat ini kepada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, sebahagian besar dana itu adalah hasil jualan Hotel Park Lane di Manhattan, New York (RM567.8 juta) selain wang dirampas daripada syarikat pembikin filem Red Granite Pictures (RM238 juta), yang mana telah dipulangkan kerajaan Amerika Syarikat.