X

Kindly register in order to view this article
!

KPM sasar 90 peratus murid orang asli hadir ke sekolah

Teo Nie Ching
A
A

SEPANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meletakkan Key Perfomance Indicator (KPI) untuk kehadiran murid orang asli ke sekolah bagi tahun 2019 pada sasaran 90 peratus.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, KPM melaksanakan program Transformasi Pendidikan Orang Asli, dan hasilnya, pencapaian peratus kehadiran murid orang asli menunjukkan peningkatan 3.23 peratus pada tahun 2019 berbanding pencapaian tahun 2016.

Menurutnya, pencapaian purata peratus kehadiran murid orang asli di 98 buah sekolah murid orang asli sehingga 30 Jun 2019 adalah 89.48 peratus berbanding tahun 2016 iaitu hanya 86.25 peratus.

"Usaha guru-guru yang ditempatkan di sekolah murid orang asli perlu dipuji kerana cabaran di sekolah itu adalah berbeza dengan cabaran di sekolah arus perdana.

"Peratus transisi murid (orang asli) dari tahun enam ke tingkatan satu juga meningkat sebanyak 2.03 peratus pada 2019 berbanding 2017, manakala pencapaian tahun 2019 adalah 75.17 peratus berbanding tahun 2017 pencapaian hanya 73.14 peratus," katanya pada Sidang Media selepas Lawatan Kerja ke Sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong (A) hari ini.

Mengenai inisiatif baru yang telah diambil oleh kementerian dengan mewujudkan laluan khas bagi pelajar orang asli untuk memasuki universiti, Nie Ching berkata, laluan khas itu baru diperkenalkan pada tahun 2018.

Katanya, ia sebagai usaha memberi keutamaan anak orang asli mendapat pendidikan yang terbaik.

Mengulas lanjut mengenai Projek Kelas Khas Murid Orang Asli Bateq di Negeri Kelantan, beliau berkata, kementerian telah membawa inisiatif itu di mana JPN Kelantan memulakan langkah intervensi apabila mendapati ramai pelajar orang asli kaum Batek tidak hadir ke sekolah dan mula tercicir.

Jelasnya, menerusi Prokhas, KPM menyediakan seorang tenaga pengajar dari sekolah terdekat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Aring untuk mengajar murid di kelas khas ini.

"Pada masa sekarang, terdapat 22 orang murid yang telah berdaftar. Sekolah ini ditempatkan di sebuah dewan orang ramai di Kampung Aring dan dijalankan dengan jadual waktu yang fleksibel," katanya.