Cili beracun: Selangor tak bergantung bekalan dari Vietnam

Azman Adam
Azman Adam
A
A
A

PETALING JAYA - Bekalan cili di Selangor dikenal pasti tidak bergantung kepada bekalan yang diimport dari Vietnam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam, berkata, pemantauan telah dibuat melibatkan beberapa pasar mendapati tiada cili dari Vietnam yang dijual.

“Ia berdasarkan daripada pengakuan peniaga menyatakan mereka tidak mengambil bekalan cili dari Vietnam.

“Setakat ini pun kita tidak menerima sebarang aduan dari pengguna berhubung jualan cili ini dan saya difahamkan di Selangor kita tidak bergantung 100 peratus dengan cili dari Vietnam,”katanya ditemui pada Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 di NSK Trade City Kota Damansara, di sini, hari ini.

Tambah Azman, walaubagaimanapun, peniaga diingatkan agar menghentikan jualan melibatkan cili Vietnam.

Ujarnya, pemantauan akan terus dilaksanakan anggota penguat kuasa dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memastikan cili dijual dilabel dengan betul.

“Kita harapkan peniaga sebab pengguna tidak tahu cili dari mana. Jadi peniaga perlu mainkan peranan.

“Kalau peniaga tahu bekalan dari Vietnam perlu hentikan jualan dan hanya jual cili dari negara yang tidak mengandungi racun tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 21 sampel cili yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan terhadap cili import di pintu masuk negara dan pasaran tempatan dari Januari hingga kini.

Hasilnya sebanyak 503 sampel cili termasuk cili dari Vietnam telah dianalisis dan didapati 21 sampel cili (4.2 peratus) tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak dan tindakan penguatkuasaan telah pun dijalankan.

Ia susulan laporan media bahawa cili merah Vietnam dikesan diseludup masuk dan dijual secara berleluasa di seluruh pasaran negara meskipun kerajaan telah menggantung import permit (IP) bahan komoditi berkenaan sejak 14 September lalu.