Penunggang maut terperosok bawah kereta

Mangsa maut di tempat kejadian selepas terperosok bawah kereta yang turut terlibat. - Foto: Ihsan Bomba
Mangsa maut di tempat kejadian selepas terperosok bawah kereta yang turut terlibat. - Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

KUANTAN- [DIKEMASKINI] Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Datuk Abdul Rashid Salleh di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.05 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai mekanik, Syamshul Hassan Mohd Maulana, 19 beralamat di Taman Datuk Abdul Rashid Salleh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dua pemandu kereta jenis Toyota Vois dan Perodua Viva dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal pihaknya, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Taman Datuk Abdul Rashid Salleh manakala kedua-dua kereta itu juga dari arah yang sama.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai menukar lorong dari kiri ke kanan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Viva yang berada di lorong berkenaan gagal mengelak lalu terlanggar mangsa dari arah belakang.

“Pada masa sama kereta jenis Toyota Vios yang berada di belakang gagal membrek lalu merempuh kereta Perodua Viva,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian, mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Punca sebenar kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 termasuk mengesan saksi awam bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan di tempat kejadian dapati kemalangan berlaku di laluan lurus dalam keadaan cuaca baik,”katanya.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, pihak bomba memaklumkan, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dikerah ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah salah sebuah kereta yang terlibat dalam nahas awal pagi itu.

Pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.