Sathianathan kecewa aksi The Red Giant di Ipoh

 B. Sathianathan - Foto sumber internet
B. Sathianathan - Foto sumber internet
A
A
A

KETUA Jurulatih Selangor, B. Sathianathan agak kecewa dengan persembahan skuad The Red Giants kerana mengalami kekalahan 2-3 kepada Perak dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Perak, di sini malam tadi.

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu berkata anak buahnya gagal mengawal rentak permainan terutama pada separuh masa pertama meskipun dua kali mendahului pasukan tuan rumah.

"Kita tak bermain seperti biasa, kita mendahului Perak dua kali tetapi pada masa yang sama disebabkan kegagalan mengawal permainan mereka dapat samakan kedudukan.

"Aksi di babak kedua pula kita tampil dengan baik, lebih tersusun di semua posisi namun sedikit kealpaan menyebabkan Perak berjaya menghasilkan gol ketiga dan menang perlawanan ini," katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus tamat perlawanan di Stadium Perak, di sini.

Dalam perlawanan tersebut, gol pasukan Selangor dijaringkan pertahanan import dari Australia, Taylor Regan di minit ke-28 dan Endrick Dos Santos pada minit ke-45.

Sementara itu, gol pasukan Perak pula dijaringkan oleh pemain import dari Brazil, Raianderson Da Costa Morais pada minit ke-42 dan 61 selain Leandro Dos Santos di minit ke-47.

Sathianathan berkata kecederaan beberapa tonggak utama pasukan juga mungkin menjadi punca kepada kekalahan tersebut.

"Dalam kem Selangor ramai yang cedera, saya terpaksa gunakan Syazwan Zainon walaupun dia belum cergas sepenuhnya. Syahmi Safari baru kembali daripada kecederaan begitu juga K. Sarkunan. Itu yang menyebabkan mungkin rentak permainan kita sedikit terganggu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berkata semangat melawan yang ditampilkan anak buahnya menjadi faktor skuad The Bos Gaurus berjaya meraih tiga mata penuh.

Mehmed berkata beliau berharap rentak kemenangan itu akan berterusan dalam baki dua perlawanan lagi sekali gus menempatkan Perak yang kini di tangga keenam Liga Super pada kedudukan lebih baik. - Bernama