Ku Li tak tolak budaya 'warlords' wujud selepas lantikan Najib

Tengku Razaleigh bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Tengku Razaleigh bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan budaya dan pengaruh ‘warlords’ kembali menguasai UMNO susulan pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, pelantikan Najib juga satu kejutan kerana beliau tidak dimaklumkan lebih awal mengenainya.

Bagaimanapun, veteran UMNO itu percaya situasi yang dihadapi UMNO ketika ini, hanyalah ujian yang bersifat sementara.

“Mungkin (warlords kembali muncul dan mengatasi kumpulan pembaharuan dalam UMNO). Tapi saya rasa ini hanya fasa sementara dan ujian untuk kita semua.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir ulas jawatan baharu Najib

“UMNO bukan milik ahlinya semata-mata kerana ia milik semua lapisan masyarakat, sama seperti BN, ia parti nasional. Pemimpin datang dan pergi,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata demikian ketika ditanya sama ada pelantikan Najib menggambarkan bahawa ‘warlords’ kembali muncul dan menguasai UMNO, mengatasi kumpulan yang mahukan pembaharuan dalam parti itu.

Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan berkata, Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Artikel Berkaitan:

Tengku Adnan berkata, tugas Najib adalah untuk membantu BN dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti itu.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata, pelantikan Najib itu tidak salah kerana BN dan UMNO memerlukan sokongan semua pihak untuk menghidupkan semula kedua-dua parti itu.

Walaupun Najib berdepan pelbagai tuduhan, katanya, bekas Perdana Menteri itu tidak semestinya menjadi liabiliti kepada UMNO dan BN.

Ditanya pandangan veteran UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan tiada nasihat yang boleh diberikan Najib kerana UMNO dan BN tumbang di bawah pimpinannya, Ku Li membayangkan tidak semua nasihat Najib perlu dituruti.

“Mungkin kita akan diuji daripada segi apakah nasihat yang kita patut terima (daripada Najib),” katanya.