X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda Pas-UMNO Perak sokong piagam

Mohd Ariff dan Ahmad Faisal
A
A

IPOH - Piagam UMNO-Pas yang bakal diumumkan tidak lama lagi diharapkan bukan sahaja menyatukan kedua-dua parti malah juga kaum lain dalam memastikan kebajikan semua pihak terjaga.

Ketua Pemuda Pas Perak, Ahmad Faisal Mohd Puait berkata, pimpinan dan akar umbi Pemuda Pas Perak menyatakan sokongan penuh terhadap piagam berkenaan dalam membentuk kerjasama kedua-dua parti.

"Namun terdapat beberapa perkara yang menjadi perhatian kami iaitu pertama apabila adanya piagam maka harap terdapat satu garis panduan dalam memudahkan kerjasama ini.

"Kedua pula asas piagam ini perlu berasaskan Islam dan jelas prinsip Islamnya diikuti nilai perpaduan tanpa meninggalkan mana-mana kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ahmad Faisal, Pemuda Pas Perak juga mengharapkan terdapat nilai integriti yang cukup tinggi dalam kerjasama ini tanpa membabitkan isu penyelewengan salah guna kuasa serta ketirisan.

"Masyarakat hari ini memilih untuk mengangkat kerajaan yang tinggi integriti dan tidak mahu perkara sebelum ini berulang lagi," katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, pimpinan dan akar umbi Pemuda UMNO Perak berharap kedua-dua parti dapat menerima baik piagam yang bakal diumumkan itu.

"Harapan kita yang paling besar sekali melalui piagam ini adalah kerjasama antara UMNO dan Pas dalam memenangi lebih banyak kerusi pada PRU akan datang bagi membentuk kerajaan.

"Bila ada piagam ini ia lebih mudah kerana semua ahli parti dapat melihat hala tuju kerjasama yang dijalinkan ini melalui piagam tersebut," katanya.

Menurut Mohd Ariff seperti pimpinan dan akar umbi Pas Perak, pimpinan dan akar umbi UMNO Perak turut menyokong penyediaan piagam dalam memudahkan kerjasama akan datang.

"Ahli parti memang mengharapkan perkara ini benar-benar berlaku agar gabungan UMNO dan Pas dapat direalisasikan demi penyatuan ummah untuk agama dan bangsa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!