Wanita curi rantai emas budak nak beli telefon bimbit

Abd Rahim Md Din
Abd Rahim Md Din
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita bertindak mencuri rantai leher milik seorang kanak-kanak berusia dua tahun dipercayai hendak membeli telefon bimbit, dalam kejadian di sebuah kedai barangan kelengkapan harian di Gong Datuk, Kuala Nerus, kelmarin.

Suspek berusia 37 tahun itu dikatakan sempat menjual barang kemas terbabit sebelum membeli telefon bimbit yang diidamkan selama ini.

Bagaimanapun, kegembiraan suspek memiliki telefon bimbit itu tidak bertahan lama apabila dia dicekup sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam, di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus.

Kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari kelmarin hanya disedari nenek dan ibu kanak-kanak itu selepas dia menangis sebaik mereka tiba di rumah di Kampung Pagar Ubi, Kuala Nerus, kira-kira jam 2 petang.

Sumber berkata, menyedari rantai emas di leher cucunya tiada, nenek mangsa berusia 54 tahun cuba mencari rantai leher berkenaan di seluruh rumah mereka namun gagal menemuinya.

Katanya, setelah puas mencari, wanita itu mengesyaki rantai leher cucunya hilang ketika mereka berada di kedai barangan kelengkapan harian berkenaan lalu pergi semula ke kedai itu untuk membuat pemeriksaan.

"Sebaik tiba di kedai itu dia meminta bantuan pekerja di situ untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum terkejut melihat seorang wanita bertudung mencuri rantai leher cucunya.

"Dalam rakaman CCTV itu suspek dilihat berlegar-legar berhampiran kanak-kanak terbabit sebelum mendekatinya lalu menanggalkan rantai leher dipakai mangsa tanpa disedari nenek dan ibunya yang sedang membeli barang.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kemudian sempat meneruskan urusan pembayaran barangan dibeli di kaunter dan dilihat dalam keadaan gelisah sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber berkata, berikutan kejadian nenek mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak semalam bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan suspek.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.