Pas Perak beri tumpuan golongan belia

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A

IPOH - Pengukuhan kerjasama Pas-UMNO di Perak serta dasar umur mengundi 18 tahun antara perkara penting yang akan menjadi tumpuan jawatankuasa Pas Perak yang baharu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, keputusan pimpinan mengekalkan beliau untuk meneraju Pas di negeri ini dilihat bertujuan memastikan kesinambungan hubungan Pas-UMNO dapat dimantapkan.

Menurutnya, kepercayaan diberikan parti untuk terus memimpin Pas Perak akan diterjemah melalui prinsip perjuangan yang diteruskan sehingga kini.

"Kita dah memulakan kerjasama dan perbincangan serta mengadakan program bersama dengan UMNO. Jika bertukar pimpinan mungkin rentak akan jadi lain.

"Mungkin parti melihat bahawa pengekalan itu untuk mengukuhkan persefahaman bersama dengan UMNO boleh dikukuhkan lagi," katanya.

Pada 6 Julai lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang telah membuat keputusan melantik semula Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak sehingga tahun 2021.

Sementara itu, Razman berkata, fokus Pas Perak akan tertumpu kepada tiga jalur utama iaitu dakwah, tarbiah dan siasah.

Katanya, usaha memberikan kefahaman terhadap taawun Pas-UMNO akan dipergiatkan kepada ahli-ahli di peringkat bawah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada hasrat kerajaan untuk meminda perlembagaan berkaitan had umur mengundi daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

"Kita akan memberi tumpuan kepada golongan ini untuk menceritakan kepada mereka apa kesan-kesan setiap keputusan yang dibuat kerana umur 18 tahun belum cukup matang.

"Mereka ini tak tahu risiko jika berlakunya perubahan kepimpinan yang akan memberi kesan kepada negara," katanya.