Lapan lagi kilang di Pasir Gudang diperiksa

Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar bersama beberapa anggota operasi memeriksa sebuah kilang, di sini semalam.
Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar bersama beberapa anggota operasi memeriksa sebuah kilang, di sini semalam.
A
A
A

PASIR GUDANG - Lapan lagi kilang di kawasan Perindustrian Pasir Gudang diperiksa dalam serbuan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi, semalam.

Jumlah tersebut menjadikan angka keseluruhan premis yang sudah diperiksa setakat ini adalah 237 buah.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya mengeluarkan dua kompaun membabitkan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap antara kilang yang digempur.

Menurutnya, selain itu, sebuah kilang juga dikenakan notis daripada pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) kerana beroperasi tanpa lesen dalam operasi yang bermula jam 8.30 malam hingga 1 pagi tadi.

"Operasi bersepadu ini membabitkan 97 anggota daripada pelbagai agensi iaitu sembilan dari JAS, MPPG (38), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (tiga), Jabatan Imigresen (38) dan Polis Diraja Malaysia (sembilan).

"Secara keseluruhannya sehingga jam 8.30 pagi tadi, 237 kilang sudah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 132 kompaun, 55 Notis Arahan dan 11 Perintah Tahan Operasi dikeluarkan selain tiga premis disyor tindakan mahkamah," katanya, di sini hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata, JAS Johor kini sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan pendakwaan terhadap tiga kilang menjelang hujung bulan ini.

"Kesalahan tiga kilang berkenaan dikesan ketika operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan perindustrian berkenaan sejak hampir dua minggu lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tiga kilang terbabit termasuk kilang haram yang beroperasi di kawasan perindustrian Pasir Gudang akan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, hujung bulan ini.

Selain itu, katanya, JAS Johor percaya dapat menyelesaikan pemeriksaan terhadap 250 kilang yang mengendalikan sisa buangan terjadual dan kimia di Pasir Gudang, dalam masa dua hari lagi.

"Dalam dua hari ia boleh dilakukan dan kita mahu teruskan momentum ini. Kalau boleh kita mahu 'cover' kesemua kilang di Pasir Gudang dan bukan hanya 250 sahaja," katanya.