Aktivis anti-Islam rayu bantuan Trump

Tommy Robinson
Tommy Robinson
A
A
A

LONDON - Aktivis anti-Islam terkemuka Britain, Tommy Robinson merayu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya memberinya suaka politik selepas berdepan hukuman penjara kerana menghina mahkamah.

Robinson, pengasas bersama Liga Pertahanan Inggeris (EDL) didapati bersalah menghina mahkamah minggu lalu apabila merakam perbicaraan seorang defendan dan menyebarkan video tersebut di media sosial.

Mahkamah Tinggi UK berkata, Robinson atau nama sebenarnya Stephen Yaxley-Lennon cuba menganggu ketenteraman awam selain campur tangan urusan kehakiman.

Robinson berdepan hukuman dua tahun penjara kerana melanggar sekatan pelaporan dan dijangka dihantar ke penjara selewat-lewatnya hari ini.

"Saya merayu kepada Donald Trump dan kerajaan Amerika supaya ambil kes saya.

"Saya perlu meninggalkan negara ini kerana saya tiada masa depan di sini," kata Robinson.

Tambah Robinson, dia akan dibelasah sebaik disumbat dalam penjara kerana kemudahan itu dipenuhi tahanan beragama Islam yang memang menanti kehadirannya.

Robinson sering mengeluarkan kenyataan berunsur kebencian dan anti-Islam. - Agensi

Artikel Berkaitan: