Dua pasukan buru Piala Moktar Dahari 2019

Piala Datuk Mokhtar Dahari 2019
Piala Datuk Mokhtar Dahari 2019
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMASKIN] Perlawanan akhir kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari 2019 bakal menyaksikan pertembungan dua pasukan yang dijadualkan pada pukul 8 malam pada 12 Julai ini di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (PSJ).

Pertembungan sengit itu melibatkan Sekolah Menengah Tinggi Kajang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 yang pertama kali berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir perlawanan.

Dua pasukan itu layak ke pusingan kalah mati selepas melepasi saingan pertama yang menampilkan 32 pasukan terbaik dari seluruh daerah di negeri ini.

Sementara itu, SMK Tengku Idris Shah bakal bertemu dengan SMK Bandar Tasik Puteri bagi merebut tempat ketiga dan keempat pada pukul 3.30 petang di Padang SMK USJ 23 pada hari yang sama dengan perlawanan akhir.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Datuk Emran Kadir, perlawanan kali ini dijangka lebih menarik kerana kualiti dan mutu permainan yang tinggi.

"Berdasarkan laporan jawatankuasa teknikal, persembahan dan mutu perlawanan yang ditunjukkan oleh pasukan yang berjaya ke peringkat akhir dilihat lebih baik berbanding pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapat lihat sekolah-sekolah yang bertanding pada kali ini lebih bersedia dan mereka berjuang habis-habisan untuk sampai ke perlawanan akhir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Emran yang juga Orang Besar Daerah Petaling berkata, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan untuk mencemar duli ke perlawanan akhir tersebut.

"Baginda akan menyampaikan hadiah kepada pemenang dan baginda juga berkenan untuk menerima replika cek daripada para penyumbang," katanya.

Piala Dato Mokhtar Dahari dikatakan menjadi platform terbaik bagi mencungkil bakat pemain bola sepak yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Di samping itu, kejohanan ini juga selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ingin melihat Selangor konsisten melahirkan pemain berbakat di peringkat akar umbi.

Johan akan meraih hadiah wang tunai RM10,000, naib johan RM8,000, tempat ketiga RM6,000 manakala keempat menerima RM4,000.

Kumpulan Perangsang adalah penaja utama yang menyumbang sebanyak RM250,000 termasuk beberapa pihak berkuasa tempatan dan syarikat persendirian bernilai RM60,000.