PPZ-MAIWP cadang lantik Yakeb ejen kutipan zakat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bercadang melantik Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sebagai ejen kutipan zakat di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata pihaknya akan menentukan cara kutipan zakat berkenaan selepas perbincangan lanjut dengan kedua-dua pihak dimuktamadkan.

"Dengan erti kata lain, ejen zakat PPZ-MAIWP ini akan kutip zakat bagi pihak kita dan akan ada bayaran upah. Ejen ini meliputi banyak sektor termasuk firma audit dan bank pun kita lantik.

“Mungkin Yakeb boleh bantu kita untuk masuk ke Kementerian Belia dan Sukan ataupun Institut Sukan Negara untuk bantu kita kutip zakat," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan bola sepak amal antara PPZ-MAIWP dan Yakeb di sini malam tadi.

Pada perlawanan di Pusat Bola Sepak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di Desa Melawati itu, PPZ-MAIWP menewaskan Yakeb 5-4.

Terdahulu, Ahmad Shukri menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed bagi mengisi dana Tabung YAKEB for X-Athlete’ (TabungX).

Kempen TabungX adalah platform melibatkan pelbagai aktiviti pengumpulan dana dilaksanakan menggunakan tabung sebagai satu daripada medium atau kaedah untuk membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan kepada Yakeb. - Bernama

Artikel Berkaitan: