Zii Jia harap sentuhan magis Hendrawan

Lee Zii Jia
Lee Zii Jia
A
A
A

PEMAIN perseorangan utama negara, Lee Zii Jia mengharapkan sentuhan magis jurulatih Hendrawan bagi menampung kekurangannya dalam mengawal tempo permainan.

Bukan itu sahaja, pemain berusia 21 tahun itu juga mahu Hendrawan turut berkongsi rahsia latihan sehingga legenda badminton Datuk Lee Chong Wei mencipta kegemilangan dalam kelas tersendiri.

"Saya harap jurulatih Hendrawan akan kongsi macam mana cara latihan dan pengalaman melatih Datuk Lee Chong Wei, dan mungkin ada latihan khas yang saya dapat belajar daripada dia.

"Pada saya, jurulatih Hendrawan seorang pemain yang mampu bermain rali dengan baik, berbanding saya yang suka menyerang. Itu kekurangan saya rali bola dan itu kekuatan jurulatih Hendrawan.

"Apabila pemain lawan dapat kutip (ambil) bola saya, saya akan rasa penat. Saya harap dia dapat bantu saya dari segi itu," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Dalam pada itu, Zii Jia meletakkan harapan tinggi agar Hendrawan dan dua lagi jurulatih - Datuk Misbun Sidek dan Indra Wijaya, dapat membantunya dalam menjayakan misi untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.

Pada Sabtu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan status Hendrawan yang diberi tugas baharu membimbing empat pemain meningkat naik yang bakal menjadi pengganti Chong Wei.

Selain Zii Jia, jurulatih berusia 47 tahun itu ditugaskan membimbing Soong Joo Ven, Cheam June Wei dan Lim Chong King sebagai persediaan mereka untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Artikel Berkaitan:

Misbun kekal sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki negara yang ditugaskan untuk melatih bakat baharu seperti Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei, Ng Tze Yong serta pemain muda lain.

Sementara itu, mengenai persiapan menghadapi tiga kejohanan Terbuka Indonesia (16-21 Julai), Terbuka Jepun (23-28 Julai) dan Terbuka Thailand (30 Julai-4 Ogos), Zii Jia berkata dari segi fizikal, beliau tidak mengalami sebarang kecederaan dan kondisi dalam keadaan baik.

Katanya, selepas berehat panjang tanpa sebarang kejohanan dalam tempoh dua minggu, beliau berharap dapat memberikan prestasi terbaik dan dapat menghasilkan keputusan yang lebih baik dari sebelumnya. - Bernama