Empat projek pembangunan fokus masalah air di Kelantan: Azmin

Azmin (kanan) menerima cenderamata daripada Ahmad Yakob.
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan memfokuskan empat projek besar untuk membantu mengatasi masalah air di Kelantan antaranya ialah projek Empangan Lebir di Gua Musang.

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat kali kedua MTNg di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

"Mesyuarat hari ini kita bincang mengenai empat kertas memfokuskan kepada masalah air selain untuk memapankan lagi pembangunan negeri ini.

"Projek pertama yang kita bincang melibatkan Lembangan Sungai Bersepadu fasa pertama yang mana sangat penting untuk menangani masalah banjir monsun dan banjir kilat di Pantai Timur.

"Perkembangan projek ini adalah 19 peratus sedang berjalan dan ia merupakan lebih awal dari yang dijadualkan melibatkan kos RM458 juta dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual.

"Projek kedua pula melibatkan Empangan Lebir untuk menguruskan sumber air bagi kegunaan minuman dan sebagainya. Projek ini di hulu kelantan dan perlu diberikan keutamanaan kerana ia merupakan keperluan mendesak," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

Mohamed Azmin berkata, bagi projek ketiga pula adalah Hidroelektrik di Sungai Nenggiri yang mana melibatkan kajian, pengurusan yang dibiayai sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, selain itu, mesyuarat yang sama turut membincangkan mengenai status Skim Projek Merbau Chondong yang dihentikan yang didakwa melibatkan kos dan skop tambahan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini lima projek mega yang pernah diumumkan beliau Mac lalu, beliau berkata, ada di antara projek tersebut yang kini dalam proses dan fasa pembangunan dan mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri.

"Beberapa peruntukan awal juga telah diluluskan oleh kementerian supaya ia berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"Sebagai contohnya projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang kini dalam proses perolehan dan tender akan mula dibuka untuk suku tahun keempat tahun ini dan ini menunjukkan satu komitmen yang baik daripada kerajaan negeri," katanya.

Ketika ditanya mengenai lantikan Datuk Ahmad Yakob sebagai pengerusi bersama MTNg, Azmin berkata, ia merupakan cadangan kerajaan Kelantan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan perkara itu dipersetujui supaya ada kewajaran Ahmad untuk sama-sama menggalas tanggungjawab tersebut dengannya.

"Kita mahu penyelarasan dan kerjasama itu dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah rakyat.

"Inilah yang kita telah lakukan dan akan diteruskan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia