10,000 tiket kuota khas dibayar, bukan percuma

Mohd Asmirul Anuar Aris (gambar kecil, antara reaksi penyokong terhadap kuota khas 10,000 tiket Final Piala FA 2019 oleh KFA di Facebook Sinar Harian.)
Mohd Asmirul Anuar Aris (gambar kecil, antara reaksi penyokong terhadap kuota khas 10,000 tiket Final Piala FA 2019 oleh KFA di Facebook Sinar Harian.)
A
A
A

ALOR SETAR - Kuota 10,000 keping tiket final Piala FA yang diasingkan dari jumlah 30,000 tiket adalah dibayar dan bukannya percuma, jelas Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris.

Menurutnya, kuota tersebut dikhaskan kepada pembesar negeri, penaja, ahli eksekutif, ahli gabungan dan pasukan seperti Piala Presiden, futsal dan pasukan bola sepak wanita dan bayaran perlu dijelaskan oleh pihak terbabit.

"Contohnya, saya sendiri perlu membayar tiket yang dikhaskan itu untuk diberikan kepada penyokong Kedah di kawasan saya, sudah tentu tiada istilah percuma seperti sebelum ini.

"Sama juga kepada pihak yang terlibat dalam kuota khas ini perlu membuat bayaran kepada KFA sebelum mereka mengagihkan tiket berkenaan," katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertanyaan penyokong apabila hanya 20,000 tiket sahaja tiket Final Piala FA 2019 yang dijual di Stadium Darul Aman pada 23 Julai.

Mohd Asmirul berkata, perkara tersebut seharusnya tidak menjadi isu kerana keutamaan persatuan adalah penyokong kerana pihaknya berjaya meningkatkan jualan di kaunter dari 9,000 tiket pada jualan tiket final yang lalu kepada 20,000 tiket.

"Saya sebenarnya lagi bimbang kuota tiket di kaunter tidak habis memandangkan trend sokongan penyokong pada beberapa perlawanan lalu ke Stadium Darul Aman tidak sampai 10,000 orang pun," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, KFA akan tetap membuat persiapan terbaik pada hari jualan tiket yang turut mendapat kerjasama polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

"Bagi memberikan keselesaan kepada penyokong yang akan hadir membeli tiket pada 23 Julai ini, saya sudah meminta bahagian tiket untuk membuka semaksimum mungkin kaunter tersebut manakala untuk bas dan van pula, kaunter khas juga dibuka untuk mereka," katanya.