3 tahun anak derita kena air gula panas

Asmaliza menunjukkan jari Muhammad Adam yang terkena air gula panas tiga tahun lalu.
Asmaliza menunjukkan jari Muhammad Adam yang terkena air gula panas tiga tahun lalu.
A
A
A

BACHOK - Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun di Kampung Permatang Piah, Pak Badol masih menanggung kesakitan akibat terkena air gula panas tiga tahun lalu.

Mangsa, Muhammad Adam Asyraf Muhammad, mengalami kecederaan pada kesemua jari di tangan kirinya dan memerlukan pantauan rapi sehingga kini.

Ibunya, Asmaliza Abdul Rahman, 25, berkata, sudah tiga tahun anaknya menderita akibat kejadian itu dan dalam tempoh tersebut Muhammad Adam sering menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan itu.

"Pada awal rawatan, empat kali kulit peha Muhammad Adam diambil bagi menggantikan kulit jarinya yang 'luruh' malah minggu lalu, dia telah menjalani pembedahan memasukan dawai untuk menggerakkan ibu jari dan kelingking.

"Setiap malam, saya tidak dapat tidur lena kerana risau jarinya tertindih dan sakit," katanya.

Berkongsi kejadian yang menimpa anaknya, Asmaliza berkata, tragedi itu berlaku ketika mereka tinggal di rumah datuknya di Wakaf Bharu.

Katanya, Muhammad Adam masuk ke dapur lalu memasukkan tangan ke dalam periuk berisi air gula yang baru dimasak.

Katanya, Muhammad Adam kemudiannya dibawa ke Hospital Kelaboran sebelum dipindah ke Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Tangan Muhammad Adam belum pulih sepenuhnya.
Tangan Muhammad Adam belum pulih sepenuhnya.

Selain menjaga Muhamad Adam, Asmaliza bersama suami, Muhammad Daud, 36, menjaga dua lagi anak mereka iaitu Nur Putri Maya, 7, dan Nur Putri Alesya, 2.

Lebih menyedihkan apabila keluarga ini dihimpit kemiskinan dan hanya tinggal menyewa bilik RM100 sebulan.

Asmaliza menambah, dengan pendapatan suami yang tidak menentu, mereka terpaksa bergantung kepada ihsan tuan rumah yang disewa dan jiran.

"Kami perlu berulang alik ke hospital sedangkan kami tidak mampu, harap ada pihak yang membantu kami," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh menghubungi talian 014-2183233.