Undi 18: Pas beri jaminan sokongan dua pertiga

Takiyuddin - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Takiyuddin - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pas memberi jaminan bahawa kerajaan akan memperoleh sokongan majoriti dua pertiga sekiranya setuju menerima syarat pindaan yang dituntut blok pembangkang berhubung Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiga syarat itu termasuk menurunkan had minimum mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, pendaftaran secara automatik dan menurunkan had minimum calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Jika kerajaan terima dan setuju dengan permintaan kami (Pas, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan setuju, (sekiranya) kurang satu syarat tak boleh.Kalau betul-betul Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pinda undang-undang itu, kita sokong kerana ia memenuhi hasrat (kita).

“Kita mahu (syarat ini) masuk dalam Perlembagaan. Kita tak mahu (sekadar) akur janji. Kalau nak pinda, pinda semua,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga memberitahu, esok Perdana Menteri akan menyampaikan taklimat kepada semua Ahli Parlimen berkenaan undi 18 tahun ini.

“Kita tunggu pembentangan pindaan itu pada 16 Julai ini, kalau kerajaan penuhi tiga syarat tambahan itu kita akan sokong, jika tidak pembangkang akan kemukakan usul persendirian.

“Kita akan debat dulu sebelum sokong, bukan terus sokong tanpa debat. Pembangkang mengalu-alukan pindaan ini,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: PH setuju umur 18 tahun berhak undi

Artikel Berkaitan:

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju anak muda berumur 18 tahun berhak mengundi, kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri juga turut bersetuju dengan pendaftaran pengundi berumur 18 tahun secara automatik.