ECRL: Terengganu pohon penglibatan kontraktor tempatan ditingkatkan

Dr Ahmad Samsuri
Dr Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan Persekutuan diharap dapat meningkatkan skop penglibatan kontraktor tempatan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada 40 peratus kepada 50 peratus, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya kerajaan negeri menyambut baik pengumuman untuk melancarkan semula projek ECRL pada 25 Julai ini tetapi ketetapan sebanyak 40 peratus itu tidak cukup untuk menggerakkan ekonomi negeri.

Beliau berkata peningkatan jumlah peratusan tersebut juga mampu memberi peluang kepada kontraktor tempatan melibatkan diri dengan lebih aktif memandangkan mereka mempunyai pelbagai kepakaran yang diperlukan seperti kerja-kerja elektrikal.

"Kita mahu tahu 40 peratus pembabitan kontraktor tempatan seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, itu dari segi apa kerana jika jumlah itu merangkumi keseluruhan projek memang tidak cukup untuk gerakkan ekonomi di Terengganu.

"Jadi kalau boleh kita nak berunding semula dan minta kerajaan pertimbang untuk tingkatkan skop ini kepada sekurang-kurangnya separuh daripada keseluruhan projek di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Kumpulan Aktivis Media Independan (KAMI) di sini malam tadi.

Katanya lagi kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan mengumpulkan senarai kontraktor serta syarikat yang layak serta berpotensi untuk mengambil bahagian dalam projek ECRL.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memantau aktiviti industri dan kilang yang berisiko keselamatan bagi mengelak tragedi tidak diingini daripada berlaku.

Beliau mengakui bahawa pihaknya ada menerima aduan di laman sosial mengenai pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti kilang di beberapa tempat, namun belum mendapat laporan rasmi daripada pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kita sudah berbincang dengan pihak kilang untuk cari langkah bagi meneutralkan bau tersebut. Walaupun tidak menyalahi undang-undang dari segi keselamatan tetapi keselesaan orang ramai juga penting.

"Kerajaan negeri juga mengikut peraturan dengan melaksanakan pengasingan kilang di zon-zon tertentu dan ada juga zon penampan," katanya. -Bernama