X

Kindly register in order to view this article
!

61 kes kemalangan akibat haiwan berkeliaran

Anggota penguatkuasa MDS berusaha menangkap seekor lembu di Kampung Pangkalan Gelap jam 12 tengah hari tadi.
A
A

SETIU - Sebanyak 61 kemalangan jalan raya direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh enam bulan pertama 2019 di daerah ini membabitkan haiwan berkeliaran.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu (MDS), Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, susulan itu, pihaknya mengadakan operasi haiwan merayau secara besar-besaran dan bersepadu dalam kawasan MDS bermula hari ini.

Menurutnya, operasi turut membabitkan pihak polis dalam memastikan kelancaran operasi tersebut di kawasan tumpuan iaitu laluan pantai dari Kampung Gong Batu hingga ke Merang.

“Operasi pertama bermula jam 11 pagi hingga 3 petang ini berjaya menangkap dua ekor kambing dan seekor lembu,” katanya.

Mohd Iskandar berkata lagi, operasi tersebut membabitkan 15 penguat kuasa termasuk dua anggota polis diketuai Penguatkuasa Kanan MDS, Irami Ismail.

Menurutnya, operasi akan disambung pada malam ini di lokasi sama dan langkah ini bagi menangani isu haiwan berkeliaran seperti lembu, kambing dan biri-biri yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebelum operasi dilaksanakan hari ini, pihak kami telah membuat hebahan kepada orang ramai termasuk di masjid agar pemilik ternakan tidak melepas bebas haiwan ternakan mereka.

“Operasi tidak terhenti pada hari ini sahaja tetapi akan dilakukan secara berterusan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!