Sathianathan gesa ubah sikap main 'fancy'

Amri Yahyah (dua dari kanan) cuba melakukan rembatan ke arah gawang ketika aksi menentang Felda United di Jengka. -Foto Bernama
Amri Yahyah (dua dari kanan) cuba melakukan rembatan ke arah gawang ketika aksi menentang Felda United di Jengka. -Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, membuatkan Selangor berjaya merampas semula kedudukan ketiga Liga Super.

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan gembira dengan tiga mata yang diraih di penghujung musim ini memandangkan skuad Gergasi Merah sedang bercita-cita untuk menamatkan saingan selaku naib juara.

Namun, dari satu sudut yang lain, Sathianathan mengakui kurang gemar dengan cara permainan yang santai anak buahnya selepas mendahului dua gol sehingga mereka dibolosi satu gol dan kemudian diasak bertubi-tubi sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Dalam 70 minit permainan kita berjaya kawal permainan. tetapi Nidzam (Jamil) pandai, dia nampak kita agak selesa, dia guna dua penyerang dan itu membuatkan situasi jadi kelam kabut.

"Apa yang saya nampak, pemain saya asyik nak pergi ke tengah dan cuba nak main cantik di tempat yang padat. Sebab itu kami hilang bola dan Felda United berjaya lakukan serangan balas dan dapat jaringkan gol yang membuatkan mereka lebih bersemangat.

"Jadi, masalah inilah yang kita perlu ubah. Saya perlu cakap kepada pemain, bila sudah selesa, tak perlu untuk main fancy (cantik). Cukuplah bermain secara simple dan seperti apa yang biasa kita lakukan," katanya.

Dalam aksi tersebut, Selangor membuka tirai jaringan menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-44 sebelum penyerang import Ifedayo Olusegun melebarkan kedudukan di awal babak kedua. Felda United berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-64 hasil jaringan cantik tonggak importnya, Jocinei Schad.

Mengulas tentang impak Ifedayo yang agak kurang menjadi dalam perlawanan ini, Sathianathan bagaimanapun mempunyai pandangan yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai penyerang, Ifedayo sudah tentulah dia akan jadi sasaran pemain lawan untuk dirantai. Beberapa kali dia diterjah dari belakang tetapi apa yang saya suka dengan Ifedayo ialah dia boleh jaringkan gol dalam apa jua keadaan.

"Mungkin malam ini (semalam) bukan aksi terbaiknya, tetapi dia dah buat kerja dia. Dia dibayar untuk jaringkan gol dan dia lakukan. Jadi tiada masalah tentang itu," katanya.

Ditanya tentang insiden selepas tamat perlawanan yang mana Ifedayo kelihatan marah dan seolah-olah tidak berpuas hati dengan tindakan penyokong, Sathianathan memilih untuk enggan mengulas lanjut.

"Anda lebih tahu dari saya. Saya tak mahu cakap apa-apa," katanya.