Cukai gula: Usahawan terjejas diminta kemuka rayuan

Mohd Hatta (dua dari kiri) menyempurnakan pelancaran Kad Sahabat Penjaja Daerah Kerian 2019 diiringi Elias (tiga dari kanan) dan Azmi Nor (kanan).
Mohd Hatta (dua dari kiri) menyempurnakan pelancaran Kad Sahabat Penjaja Daerah Kerian 2019 diiringi Elias (tiga dari kanan) dan Azmi Nor (kanan).
A
A
A

PARIT BUNTAR - Semua usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas akibat kenaikan cukai gula baharu dikuatkuasakan kerajaan bermula 1 Julai lalu diminta mengemukakan rayuan kepada pihak berwajib dengan kadar segera.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, sekiranya permohonan rayuan dikemukakan mempunyai merit yang munasabah, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan penangguhan penggenaan cukai itu.

Menurutnya, melalui budi bicara kerajaan, mereka boleh mengambil lebih masa membuat persiapan kepada peralihan terutama dalam aspek mengubah label pembungkusan produk mereka bagi mematuhi arahan baharu dikuatkuasa kerajaan.

"Saya mengakui ada peniaga termasuk di daerah Manjung sendiri mengemukakan rayuan penangguhan cukai gula kerana mereka terpaksa mengubah label harga dam pelekat jenama produk masing-masing bagi mematuhi penguatkuasaan arahan baharu dilaksanakan kerajaan.

"Susulan itu, ada yang terpaksa menangguhkan perniagaan mereka kerana tidak berkemampuan mencetak semula label produk masing-masing dengan kadar segera di samping kadar kenaikan cukai tinggi dari segi kos pembuatan produk menjejaskan pasaran mereka.

"Bagi peringkat kementerian, saya mengharapkan mereka dapat mengemukakan segera rayuan kepada pihak berwajib supaya boleh dipertimbangkan kelonggaran sementara kepada kes-kes yang ada merit sahaja," katanya kepada media selepas merasmikan program seminar dan dialog keusahawanan 2019 anjuran Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu (PPPKM) Daerah Kerian di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PPPKM Daerah Kerian, Elias Sarakawi dan Pengurus Eksekutif Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) Perak, Azmi Nor Shaharuddin.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas keluhan sebilangan usahawan IKS yang mengeluh perniagaan mereka terjejas sehingga ada terpaksa 'gulung tikar' susulan keputusan kerajaan menaikkan kadar cukai gula berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hatta (depan, lima dari kiri) bersama peserta program seminar dan dialog keusahawanan 2019 anjuran Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu (PPPKM) Daerah Kerian di Parit Buntar hari ini.
Mohd Hatta (depan, lima dari kiri) bersama peserta program seminar dan dialog keusahawanan 2019 anjuran Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu (PPPKM) Daerah Kerian di Parit Buntar hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hatta mengesyorkan Tekun mengambil inisiatif memperluaskan kaedah pinjaman tabung itu mengambil contoh model pendekatan pinjaman diamalkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang sudah diperkenalkan sejak tahun 2015.

Menurutnya, kaedah pinjaman berkumpulan diamalkan AIM yang kini dipraktikkan secara sampingan oleh Tekun ternyata memberikan impak bayaran balik pinjaman positif di mana hanya sepuluh peratus sahaja peminjam kaedah itu didapati culas di Perak.

"Selain itu, kaedah pendekatan pinjaman sebegini dilihat satu cara kawalan pembayaran semula berkesan di samping memberi ruang kepada usahawan untuk tidak menunggu masa lama memperolehi kelulusan pinjaman sehingga berisiko hilang peluang perniagaan.

"Sekiranya inisiatif sebegini berkesan, ianya boleh dijadikan kaedah utama pinjaman Tekun kepada usahawan-usahawan tempatan, cuma pada peringkat permulaan mungkin boleh difokuskan dahulu kepada segmen perniagaan IKS dan mikro perniagaan," katanya.