Lelaki ditahan halang tugas anggota polis trafik

Haslah Bachok
Haslah Bachok
A
A
A
KUALA PILAH - Polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun selepas dipercayai menghalang tugas anggota polis trafik melakukan tugas dalam kejadian di Jalan Dato' Undang Johol, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 12 tengah hari sewaktu polis mengeluarkan saman terhadap suspek kerana kenderaannya diparkir di bahu jalan.

"Tindakan saman itu dikeluarkan sebaik pihak penguasa trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima aduan orang awam berhubung banyak kenderaan diletakkan di bahu Jalan Dato’ Undang Luak Johol, Kuala Pilah sehingga mengundang kesesakan lalu lintas.

“Seterusnya sepasukan anggota polis trafik ke lokasi dan mengeluarkan beberapa saman kepada kenderaan yang diparkir di bahu jalan termasuk kenderaan suspek.

"Ketika saman dikeluarkan ke atas kenderaan suspek, dia masuk ke dalam kereta itu lalu menghidupkan enjin dan berlalu dengan cara pemanduan yang berbahaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Haslah berkata, suspek kemudiannya keluar dari kereta terbabit dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota trafik.

“Lebih memburukan keadaan, anggota trafik telah meminta kad pengenalannya sebanyak lima kali tetapi suspek enggan berkerjasama selain bertindak memberi provokasi kepada anggota trafik dengan kata-kata kesat serta perbuatan.

“Polis kemudian menahan suspek dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Haslah turut menasihatkan orang awam agar tidak memakir kenderaan mereka sekitar Jalan Datuk Undang Luak Johol dan Jalan Lister supaya kerana boleh mengundang kesesakan lalu lintas.
Artikel Berkaitan: