Persembahan anti minyak sawit: Teresa, sekolah berdamai

Teresa (dua dari kiri) dikunjungi pentadbir The International School@Parkcity bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung persembahan pentas melibatkan murid sekolah berkenaan yang mengkritik industri minyak kelapa sawit. - FOTO FACEBOOK TERESA KOK
Teresa (dua dari kiri) dikunjungi pentadbir The International School@Parkcity bagi memberi penjelasan dan memohon maaf berhubung persembahan pentas melibatkan murid sekolah berkenaan yang mengkritik industri minyak kelapa sawit. - FOTO FACEBOOK TERESA KOK
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan sekolah antarabangsa yang mengkritik industri minyak kelapa sawit melalui persembahan ketika perhimpunan akhirnya berdamai, semalam.

Teresa berkata, pentadbir The International School@Parkcity berkunjung ke pejabatnya dan memohon maaf berkaitan insiden malang berkenaan.

"Mereka menunjukkan klip video yang disiarkan di perhimpunan murid. Klip itu termasuk sedutan daripada video anti minyak sawit bertajuk 'Rang Tan' oleh NGO Greenpeace. Murid hanya mengulang watak yang dipamerkan dalam klip video itu dan ditunjukkan ketika perhimpunan.

ARTIKEL BERKAITAN: Propaganda anti minyak sawit: Sekolah antarabangsa disiasat

"Mereka memohon maaf berhubung insiden malang itu dan berkata mereka sepatutnya boleh mengendalikan situasi itu dengan lebih baik," katanya melalui kenyataan di Facebooknya hari ini.

Kelmarin Teresa menggesa diadakan dialog terbuka dengan semua sekolah antarabangsa berhubung industri minyak sawit beberapa hari selepas membidas sebuah sekolah di Kuala Lumpur kerana mengadakan satu konsert yang menyaksikan pelajar membuat persembahan menyokong lobi anti minyak sawit.

Beliau berkata, kritikan beliau bukanlah percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi bertujuan merakamkan kekecewaan dan kekesalan terhadap keadaan yang disifatkannya sebagai kurang faham mengenai industri terbabit serta usaha ke arah pemuliharaan dan kemampanannya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin sebelum itu berkata, tindakan di bawah peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] akan diambil ke atas sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Amin berkata, Kementerian Pendidikan juga akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua sekolah antarabangsa susulan insiden itu agar tidak berulang.