Tanah RAC di Ipoh dibangunkan dengan model TOD

Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejumlah 77.51 hektar tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di sekitar Stesen Keretapi Ipoh, Perak akan dibangunkan dengan model pembangunan berorientasikan transit (TOD), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, projek yang merangkumi pembangunan bercampur dan direalisasikan dalam masa 15 tahun itu menerusi syarikat usahasama antara RAC dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

"Kami nak pastikan ia ada komponen perniagaan dan komersial selain komponen perumahan mampu milik yang semua akan diintegrasikan dengan Stesen Keretapi Ipoh. Ini adalah sebahagian daripada pembangunan TOD yang diutamakan kerajaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik Pembangunan Aset Keretapi di Perak antara RAC dan MB Inc di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Anthony, Perak merupakan antara negeri yang memiliki tanah kereta api yang paling luas iaitu berjumlah 2,084.77 hektar yang 77.51 hektar daripadanya merupakan lokasi tumpuan bagi pelaksanaan perjanjian itu.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri Perak menyasarkan untuk membina 50,000 unit rumah di bawah program Rumah Perakku dalam tempoh empat tahun akan datang yang projek pembangunan di sekitar Stesen Keretapi Ipoh itu akan menyumbang ke arah mencapai sasaran berkenaan.

"Demi memastikan penaiktarafan bandar raya Ipoh diteruskan, kerajaan beriltizam menjayakan model pembangunan ini (TOD) bagi membolehkan Ipoh terus bersaing dengan lebih giat dalam prestasi seperti indeks mobiliti dan keupayaan dalam mengurangkan karbon," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: