MA63: 55 lot tanah milik Sabah, Sarawak dikembalikan

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan semula 55 daripada 224 lot tanah yang telah diperolehi daripada kerajaan Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, ia melibatkan 52 lot tanah milik Sarawak dan tiga milik Sabah.

Katanya, kedua-dua kerajaan negeri berkenaan akan membayar semula kepada Kerajaan Persekutuan jumlah pampasan yang telah dibayar pada harga ketika Kerajaan Persekutuan mengambil alih anah berkenaan.

"Banyak lot tanah di Sabah dan Sarawak yang diperolehi Kerajaan Persekutuan namun tidak dibangunkan dan dengan pengembalian tanah tersebut, kedua-dua negeri terbabit sekurang-kurangnya akan dapat memajukan kawasan tanah itu.

"Tanah ini tidak lagi digunakan oleh Kerajaan Persekutuan tapi tanah itu menjadi terbiar...bagi sudut keselamatan, kesihatan dan sebagainya, ia perlu diserah balik kepada kerajaan negeri (Sabah dan Sarawak),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bil 1/2023, di sini pada Selasa.

Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata, setakat ini, Sarawak mengemukakan sebanyak 219 lot tanah yang harus dikembalikan semula manakala Sabah pula lima lot tanah.

Tanpa memperincikan keluasan keseluruhan 55 lot tanah itu, beliau, bagaimanapun, berkata pengembalian tanah tersebut meliputi tanah yang tidak dimajukan dalam tempoh lima tahun. - Bernama.