Lantikan Iskandar sebagai Pengarah Intan dibatalkan

Borhan
Borhan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Abdullah mengesahkan lantikan bekas ketua setiausaha sulit Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus sebagai pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) telah dibatalkan.

Borhan berkata, pihaknya mengambil kira semua perkara yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

"Kita bertindak secara profesional dan kita turut berkhidmat dengan kerajaan yang memerintah.

"Kita telah mengambil kira pandangan tersebut dan membuat keputusan menarik balik jawatan tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Perkhidmatan Awam 2019.

Beliau berkata, pelantikan Pengarah Intan yang baharu dijangka akan diketahui selepas mesyuarat minggu depan.

"Kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pada minggu depan, kita juga mempunyai beberapa calon yang bersesuaian untuk menjadi Pengarah Intan," katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Iskandar dilantik sebagai Pengarah Intan ke-17 berkuatkuasa mulai Isnin lalu.

Iskandar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri menggantikan Shukry Mohd Salleh pada Oktober 2016.

Artikel Berkaitan:

Intan adalah agensi kerajaan pusat yang melatih penjawat awam dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran.

Iskandar mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam lebih 20 tahun.

Beliau turut menyertai perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik pada Mac 1994 dan pernah menduduki beberapa jawatan termasuk ketua unit antarabangsa Intan.