Susunan kerusi Parlimen akan berubah

No Image Caption
A
A
A

BATU PAHAT - Susunan kerusi dalam Parlimen berkemungkinan akan berubah sekiranya benar terdapat beberapa Ahli Parlimen BN yang mengambil keputusan untuk melompat parti.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata pihaknya masih belum menerima kenyataan rasmi berkenaan tindakan Ahli Parlimen terbabit dan perubahan susunan hanya akan dilakukan apabila menerima kenyataan rasmi.

“Saya sendiri pun hanya mengetahui berita berkaitan ‘lompat parti’ ini daripada surat khabar dan beberapa media sosial, yang bukannya daripada kenyataan Ahli Parlimen yang dimaksudkan,” katanya kepada pemberita dalam Program Parlimen Outreach di Dewan Jubli Intan Batu Pahat, di sini hari ini.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad, Speaker Dewan Negeri Johor Suhaizan Kauat dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata program Parlimen Outreach yang pertama kali diadakan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat khususnya di luar bandar berkaitan Parlimen.

“Program ini menyasarkan penyertaan penduduk Batu Pahat dan sekitarnya seperti pelajar sekolah, agensi kerajaan dan juga mahasiswa institut pengajian tinggi,” katanya lagi.

Pada 12 Disember, Umno Sabah lumpuh berikutan pemimpin utamanya keluar beramai-ramai daripada Umno, menyaksikan peletakan jawatan sembilan daripada 10 Adun, lima Ahli Parlimen dan 22 ketua bahagian. Malah pada 14 Disember, enam lagi Ahli Parlimen daripada Umno turut mengumumkan keluar parti. - Bernama

Artikel Berkaitan: