Pelajar kolej swasta ceroboh masuk kem tentera

Pelajar tersebut ditahan anggota askar kerana cuba menyamar dalam Kem Rasah.
Pelajar tersebut ditahan anggota askar kerana cuba menyamar dalam Kem Rasah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penuntut sebuah kolej swasta yang disyaki mengalami masalah mental ditahan polis selepas cuba menyamar dan menceroboh masuk sebuah kem tentera di Jalan Rasah di sini, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun itu cuba memasuki kawasan kem berkenaan sebelum disedari anggota tentera yang bertugas kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Menurut sumber, pengawal bertugas telah menahan dan mendapatkan beberapa maklumat daripada suspek yang mengaku sebagai anggota tentera berpangkat sarjan dari Kor Risik Diraja.

"Hasil siasat mendapati lelaki tersebut telah menyamar dan cuba menipu untuk memasuki kawasan kem.

"Pemeriksaan badan yang dilakukan menjumpai sebilah pisau tajam, dompet dan kunci kereta.

"Pegawai bertugas kemudiannya menghubungi pihak polis dan suspek dibawa oleh anggota polis yang datang ke lokasi untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat kejadian.

"Polis telah menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut dan berdasarkan maklumat diperolehi, kita mendapati suspek mempunyai masalah mental.

Artikel Berkaitan:

"Dia kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan pihak hospital mengesahkan suspek mempunyai rekod rawatan pesakit psikiatri," katanya.

Tambahnya, lelaki tersebut kini mendapatkan rawatan lanjut di hospital, sebelum dibenarkan keluar.