Annuar Musa tarik diri EGM KAFA

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa telah menarik diri daripada bertanding jawatan presiden persatuan terbabit pada mesyuarat Kongres Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal diadakan Sabtu ini.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, EGM kali ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi mengisi kekosongan kerusi pemimpin nombor satu persatuan terbabit selepas ditinggalkan oleh Bibi Ramjani Ilias Khan bulan lepas.

"Tiga calon yang sah bertanding adalah Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz.

"Bagi jawatan Timbalan Presiden turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara saya dan dua lagi calon iaitu Yusri Ismail Datuk Seri Mohd Zumridi Tambi selepas Datuk Rosmadi Ismail turut menarik diri selepas dicalonkan sebelum ini," katanya, di sini hari ini.

EGM tersebut akan diadakan bagi memilih presiden dan exco baharu selepas Bibi Ramjani meletak jawatan selain exco sedia ada dilihat gagal memberikan sumbangan kepada persatuan.

Afandi berkata pertandingan sengit turut akan berlaku bagi jawatan Naib Presiden apabila enam calon menawarkan diri untuk jawatan tersebut.

"Enam calon itu adalah Datuk Shaari Mat Hussain, Datuk Rowi Dollah, Profesor Dr Zaliman Sauli, Hassan Hasbullah, Effendy Yahya dan Affiq Kamaruzaman.

"Manakala pertandingan bagi jawatankuasa eksekutif seramai 27 calon yang akan bertanding, keseluruhan calon yang sah bertanding adalah seramai 39 orang," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: