Orang Asli terima bantuan PREC

PREC
PREC
A
A
A

SHAH ALAM - Lima puluh lima keluarga Orang Asli di Kampung Orang Asli Air Kuning Bukit Bandaraya, di sini, mendapat perhatian PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) apabila menerima sumbangan sejumlah RM26,000 bagi meringankan beban kewangan mereka sempena musim persekolahan awal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada peruntukan zakat tahunan syarikat berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak RM22,000 diberikan secara tunai kepada keluarga Orang Asli berkenaan, manakala RM4,000 dalam bentuk kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka yang bersekolah rendah serta menengah.

"Sumbangan ini melibatkan kira-kira RM400 untuk satu keluarga khusus untuk perbelanjaan harian mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Persediaan Persekolahan Sempena Kayuhan Amal Kelab Sukan dan Rekreasi PREC (PESCA) kepada Komuniti Orang Asli Bukit Bandaraya, di sini hari ini.

Fakru Radzi adalah antara 30 peserta yang menyertai kayuhan amal anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi PREC (PESCA).

Katanya, mereka berkonvoi sejauh enam kilometer dari SACC Walk (berdekatan Pusat Beli-Belah SACC) ke dewan komuniti Orang Asli itu.

Beliau berkata, program kayuhan amal yang julung kalinya diadakan bertujuan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan selain menyemai semangat kesukanan, kerjasama dan rasa syukur dalam kalangan kakitangan PREC.

"Program sebegini akan berterusan dari semasa ke semasa dan kami akan melawat kawasan yang memerlukan bantuan dan setakat ini kami telah melawat serta membantu 50 kawasan di sekitar Selangor," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: