Wujud gerakan keluar Pas, UMNO?

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A
KUALA TERENGGANU – Bersatu Terengganu mendakwa wujudnya 'gerakan' untuk keluar UMNO dan Pas di negeri ini ekoran tidak bersetuju dengan jalinan kerjasama yang diputuskan oleh kedua-dua parti itu.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, kebanyakan mereka akan bertindak keluar parti disebabkan tidak senada dengan keputusan pucuk pimpinan dua parti itu yang memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan 'musuh tradisi' dan berseteru sejak sekian lama.

Menurutnya, Pas dan UMNO adalah musuh tradisi sejak lebih 60 tahun lalu malah tidak mustahil sehingga kini masih ada yang terkesan dengan isu 'ucapan' yang dibuat presiden Pas sendiri di Kampung Banggol Peradong di sini suatu ketika dahulu.

"Isu itu begitu besar sehingga memberi kesan bukan sahaja di peringkat pemimpin atasan malah ada antaranya memberi kesan terhadap kehidupan dalam kalangan penyokong parti tersebut. Macam mana sekarang mereka boleh kata wujud hubungan 'taawun siyasi' pula sedangkan apa yang diucapkan sebelum ini masih belum ditarik balik.

"Begitu juga bagi pemimpin UMNO yang secara jelas sebelum ini melabel Pas sebagai 'parti ajaran sesat' yang sehingga kini belum kita dengar menarik balik kenyataan itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Bersatu Terengganu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razali berkata, jalinan kerjasama antara Pas dan UMNO dijangka menyebabkan kedua-dua parti itu kehilangan banyak sokongan seterusnya memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita meminta supaya gabungan kerjasama antara UMNO dan Pas dipercepatkan bagi memastikan hanya wujud pertembungan dua penjuru dalam PRU15 nanti. Kita mahu mereka mempercepatkan piagam yang diuar-uarkan, jangan tangguh lagi, segerakan kerana kita nak pastikan PRU15 nanti satu lawan satu.

"Apabila gabungan antara mereka berlaku, kita jangka sebahagian pengikut Pas yang fanatik akan lari, begitu juga dengan sebahagian daripada pengikut UMNO juga akan lari dan mereka akan menyokong PH, khususnya Bersatu di Terengganu. Kita lihat gerakan ini sedang berlaku," katanya.

Menurutnya, taawun siyasi antara kedua-dua parti itu sepatutnya dilaksanakan menggunakan pendekatan berhemah.
Artikel Berkaitan:


"Perlu ada situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak. Tapi apa yang kita lihat di Terengganu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pun tiada yang dipegang dalam kalangan pemimpin UMNO apatah lagi jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Apa yang saya nampak, taawun ini dicipta bagi memudahkan mereka (Pas) untuk memerintah Terengganu dengan tiada sebarang bangkangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).