Malam ini saya agak emosi: Azharina Azhar

Azharina Azhar
Azharina Azhar
A
A
A

PUAS dan bersyukur kepada ALLAH, itulah perkataan yang terbit daripada mulut seorang penyanyi yang tidak asing lagi di persada seni hiburan tempatan, Azharina Azhar, apabila hasrat untuk merealisasikan konsert solo akhirnya terlaksana pada malam Sabtu lalu.

Walaupun berpuas hati, jauh di sudut hati anak jati kelahiran Sabah itu, mengakui persembahannya masih ada kekurangan.

“Secara keseluruhan sudah pastilah akan ada serba-serbi kekurangan dalam proses untuk menjayakan konsert ini, namun kesemua pemuzik telah melaksanakan tugas dengan sehabis baik.

“Apa yang boleh saya katakan dari segi persembahan saya pada malam tadi hanya 70 peratus sahaja kerana kekangan waktu yang terlalu singkat untuk berlatih bersama-sama pemuzik di atas tuntutan tanggungjawab lain yang perlu dilakukan.

“Hari pertama, pada hari Khamis, saya hanya dapat menyanyikan tiga buah lagu sahaja, manakala sehari sebelum saya hanya menyanyikan seperti biasa sahaja untuk setiap lagu yang dipersembahkan.

“Dari segi vokal juga ada sedikit kekurangan namun saya sudah berikan sepenuh hati, jiwa dan raga, jadi saya berpuas hati syukur alhamdulillah,” katanya jujur.

Mengenai perancangan konsert seterusnya, Azharina tidak akan menghampakan peminatnya di Sabah kelak.

“Doakan semoga perancangan saya dan team produksi akan direalisasikan pula di sana,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, berlangsung di Royal Teater Shah Alam, konsert berdurasi selama dua jam itu membawa peminat juara Gegar Vaganza musim ketiga ini menerusi lagu malar segar seperti Elegi Sepi, Rawan, Seandainya, Lakar Janji dan diakhiri dengan lagu terbaharunya berjudul, Kau Kasihku.

Azharina Azhar
Azharina Azhar

Selain lagu-lagu hitnya, konsert tersebut turut dirancakkan lagi dengan penampilan penyanyi terkenal Lan Solo menerusi lagunya, Memburu Impian dan Selagi Ada Rindu serta lagu duet bersama Azharina dengan lagu berjudul, Sudah Kahwin Ke Belum?. Imbau detik permulaan

Dalam konsert itu, wanita berusia 34 ini turut mencuri peluang untuk meluahkan isi hatinya secara telus bersama peminat yang hadir mengenai kembara seni sebagai penyanyi yang berjuang di tanah semenanjung.

“Malam ini saya agak emosi sedikit kerana terkenang detik di awal penglibatan sebagai penyanyi yang datang daripada Sabah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-cita bukan senang.

“Saya pernah digelar segelintir masyarakat sebagai penyanyi tempelan namun saya sabar dan apa yang membuatkan saya terus kekal sehingga ke hari ini adalah kerana peminat setia saya.

“Bila terkenangkan detik itu saya pasti akan menitiskan air mata dan memori itu jugalah membuatkan saya senantiasa berdoa kepada ALLAH supaya diberikan rahmat-NYA untuk berkarya,” luahnya sambil berjanji akan terus menyanyi dengan izin Tuhan.

Azharina Azhar
Azharina Azhar

Concert Azharina: Queen of Soul dibawakan oleh Atlas One Events Sdn Bhd, Azharina Entertainment dan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT bersama sama rakan strategik iaitu Pemadam Negeri Selangor, Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan FUFC The Fighters.

Untuk rekod, hampir 18 tahun Azharina telah berkecimpung di dalam dunia nyanyian dan kejayaannya merangkul gelaran Juara Bintang RTM pada tahun 2001 dan seterusnya Juara edisi Gegar Vaganza 2016 telah mengukuhkan lagi nama Azharina di persada muzik tanah air. Sejak dari hari pertama menceburi bidang nyanyian, Azharina telah menyertai sejumlah 108 pertandingan nyanyian dan memenangi 105 darinya.