Hilang kawalan, pemandu lori maut kemalangan

Keadaan lori yang dipandu mangsa
Keadaan lori yang dipandu mangsa
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki warganegara India maut selepas lori yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Teknologi 1, Kawasan Perindustrian Mengkibol, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Madheswaran Raju, 24, beralamat di Taman Sri Sinar Segambut, Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati, lori yang dipandu oleh mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok longkang sebelum terbalik dan lori mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri dan bahagian atas remuk.

"Akibat daripada pelanggaran tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian muka dan kepala sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk dibedah siasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan kemalangan merupakan jalan simpang tiga, jalan kering dan bertar serta mempunyai garisan putus-putus. Katanya, kenderaan yang terlibat juga akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk menjalani pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: