Anggota Imigresen cedera ketika cekup warga asing

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu yang dilakukan Jabatan Imigresen Pulau Pinang semalam.
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu yang dilakukan Jabatan Imigresen Pulau Pinang semalam.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Seorang penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang cedera ketika cuba menahan sekumpulan warga asing yang melarikan diri dalam serbuan di sebuah restoran di Bandar Baru Ayer Itam di sini semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, anggota berkenaan dikatakan terjatuh ketika mahu menahan lelaki warga Myanmar terbabit yang meloloskan diri selepas melihat kelibat penguat kuasa masuk ke dalam premis berkenaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, namun usaha lelaki itu gagal apabila dia berjaya ditahan anggota serbuan lain yang mengepung kawasan berkenaan.

"Anggota penguat kuasa mengalami luka-luka dan terseliuh akibat insiden yang berlaku namun beliau masih lagi komited untuk menjalankan serbuan di beberapa lokasi lain yang diadakan semalam," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, seramai 14 orang warga asing yang bekerja di restoran itu diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah malam itu namun 12 daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara haram.

"Selain restoran itu, 33 anggota penguat kuasa yang terlibat dalam operasi turut melakukan pemeriksaan di kedai makan, kedai gunting rambut, kedai runcit selain rumah yang menjadi tumpuan warga asing tinggal di sekitar Georgetown, Bayan Baru, Butterworth dan Seberang Jaya.

"Hasil daripada serbuan yang dijalankan, seramai 40 orang warga asing berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun yang di tahan atas pelbagai kesalahan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum mereka dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan mendapati bukan sahaja ada antara mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah malah ada yang tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan selain menyalahgunakan pas lawatan dan permit kerja.

Artikel Berkaitan:

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.