Johor paling cemerlang bawa pelaburan asing: Exco

Jimmy Puah
Jimmy Puah
A
A
A

KOTA ISKANDAR - Johor membawa masuk pelaburan asing paling tinggi di negara ini dengan RM24.036 bilion tahun lalu.

Exco Pelaburan, Jimmy Puah Wee Tse berkata angka itu merupakan peningkatan empat kali ganda berbanding pelaburan langsung asing (FDI) tahun 2017.

"Angka ini telah menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak empat kali ganda daripada jumlah pelaburan pada tahun 2017 iaitu hanya RM5.102 bilion.

"Ini bermakna Johor telah direkodkan menjadi negeri nombor satu di Malaysia paling cemerlang dalam membawa masuk pelaburan asing.

"Ini menunjukkan pelabur asing mempunyai keyakinan yang cukup tinggi terhadap Johor berbanding negeri lain," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Md.Othman Yusof (BN-Kukup) dan Abd. Taib Abu Bakar (BN-Machap) di persidangan kedua Dewan Negeri Johor ke-14, hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi global yang kelihatan lembab dan tidak menentu Johor masih mampu berdaya saing.

"Justeru itu, kita perlu berusaha lebih gigih, lebih proaktif supaya dapat mengekalkan momentum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Indonesia negara yang mendominasi pelaburan langsung di negeri ini dengan RM8.46 bilion tahun lalu yang tertumpu di kawasan Pengerang melibatkan industri minyak dan gas.

"Selain Indonesia, Belanda di tempat kedua dengan RM7.57 bilion, China RM2.84 bilion dan Amerika Syarikat RM2.36 bilion.

"Industri petroleum termasuk petrokimia muncul juara pelaburan asing di Johor dengan nilai RM11.834 bilion diikuti industri elektrik dan elektronik dengan RM8.315 bilion serta industri kimia dan produk kimia RM2.364 bilion," katanya.

Beliau menjangkakan ekonomi negara kekal positif tahun ini susulan asas-asas makro ekonomi negara masih kukuh meskipun terdapat cabaran domestik dan luaran.