Felda letak kepercayaan terhadap Mohd Bakke

Tan Sri Mohd Bakke Salleh
Tan Sri Mohd Bakke Salleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seluruh warga Felda meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap Pengerusi Felda yang baharu Tan Sri Mohd Bakke Salleh bagi mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian agensi itu.

Felda dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd Bakke atas pelantikan itu yang berkuatkuasa hari ini dan mengalu-alukan kehadiran beliau di Felda.

"Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang hartanah, kewangan dan perladangan, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Hartanah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dari 1999 hingga 2001.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji bermula 2001 hingga 2005 dan selepas itu dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Felda Holdings Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Berhad,” menurut kenyataan itu.

Mohd Bakke juga merupakan Ahli Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dari 2004 hingga 2010 dan dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad pada 2010 hingga 2017.

Sementara itu, Felda turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas Pengerusi Felda Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor di atas perkhidmatan cemerlang beliau di Felda termasuk pelaksanaan beberapa inisiatif pelan transformasi demi kebajikan sosioekonomi warga peneroka.

"Beliau telah menyumbang idea bernas dan memberi komitmen penuh dalam melengkapkan Kertas Putih Felda demi menjamin masa depan peneroka,” kata kenyataan itu.

Pada 26 Jun lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pelantikan itu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021.- Bernama

Artikel Berkaitan: