Rempuh MPV polis, sekumpulan penjenayah diberkas

Kenderaan MPV polis yang rosak selepas dirempuh suspek dalam kejadian di Eco Hill, Semenyih, awal pagi tadi.
Kenderaan MPV polis yang rosak selepas dirempuh suspek dalam kejadian di Eco Hill, Semenyih, awal pagi tadi.
A
A
A

KAJANG - Cubaan sekumpulan penjenayah meloloskan diri dengan merempuh unit kereta peronda (MPV) polis mengundang padah selepas kereta dipandu mereka terbabas hingga mengakibatkan kecederaan parah dalam kejadian di Eco Hill, Semenyih, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi tadi, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki dua lelaki tempatan bersama dua wanita warga Indonesia telah terserempak dengan anggota MPV sebelum memecut kenderaan mereka sejauh 20 kilometer hingga ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek bertindak memecut kenderaan dinaiki mereka walaupun selepas diarah untuk berhenti oleh anggota MPV tersebut.

Kenderaan suspek yang rosak selepas terbabas akibat merempuh kenderaan MPV polis dalam kejadian di Eco Hill, Semenyih, awal pagi tadi.
Kenderaan suspek yang rosak selepas terbabas akibat merempuh kenderaan MPV polis dalam kejadian di Eco Hill, Semenyih, awal pagi tadi.

"Apabila tiba di kawasan Taman Autumn Park, dekat Eco Hill, mereka bertindak merempuh kenderaan MPV sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan mengakibatkan pemandu serta penumpang di hadapan kereta itu mengalami kecederaan patah tangan dan kaki.

"Pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek menemukan sepucuk pistol angin serta sebilah pedang samurai," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Kenderaan MPV polis yang rosak selepas dirempuh suspek dalam kejadian Eco Hill, Semenyih, awal pagi tadi.
Kenderaan MPV polis yang rosak selepas dirempuh suspek dalam kejadian Eco Hill, Semenyih, awal pagi tadi.

Ahmad Dzaffir berkata, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 20-an itu dikesan positif methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua pasangan kekasih itu kini sedang direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki kira-kira jam 9.30 malam tadi, dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis.

"Suspek berusia awal 20-an itu yang memiliki rekod jenayah dan dadah itu ditahan orang ramai selepas menyamun seorang warga asing di Bandar Kesuma Beranang," katanya.