Kisah onde-onde di pondok uzur

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAMAI individu, syarikat korporat mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlumba-lumba menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri menjelang penghujung Syawal.

Ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara minggu lalu, penulis disapa dua wanita berusia lingkungan 40-an dan 50-an.

Pertemuan dengan dua wanita itu mengimbas kembali peristiwa ketika masih bergelar Skuad Subang Jaya (wartawan Sinar Harian yang ditugaskan membuat liputan berita di daerah-daerah) kira-kira 10 tahun lalu.

Kisahnya, kuih buah Melaka bergolek-golek di atas lantai sebaik laungan azan menandakan masuk waktu berbuka puasa!

Hari itu seperti biasa rutin penulis akan keluar mencari berita dan aduan diterima adalah mengenai sebuah surau yang lokasinya terletak agak tenggelam dari jalan utama.

Selesai menemubual mereka yang sepatutnya dan sudah berjalan menuju ke kereta, tiba-tiba penulis teringat belum mendapatkan nama jalan lokasi surau itu.

Penulis kemudian mencari-cari orang yang boleh ditanya sebelum terpandang sebuah pondok di balik rimbunan pokok dan berdiri seorang wanita di situ.

Malangnya wanita lingkungan 30-an itu tidak pula tahu nama jalan, menyebabkan penulis mengambil keputusan melihat di sekeliling kawasan pondok yang sebenarnya adalah sebuah rumah.

Artikel Berkaitan:

Daripada situlah terpahat satu kisah yang tidak mungkin penulis lupakan. Air mata penulis bercucuran sebaik dapat tahu 11 beranak berteduh dalam rumah amat uzur di tengah-tengah pusat bandar Puchong dan hanya makan nasi berlaukkan pucuk betik yang diambil dari pokok tepi jalan untuk berbuka puasa.

Ketika pertama kali bertemu, penulis bertanya kepada wanita itu sama ada hidupnya susah namun dibalas dengan gelengan kepala. Penulis meninggalkan kad nama dan meminta dia menghubungi nombor telefon tertera jika perlu bantuan namun tiada panggilan daripadanya. Kali kedua ke pondok itu, ibu kepada sembilan anak itu tetap seperti sebelumnya.

Apabila meminta wanita itu memikirkan akan kepayahan ditanggung anak-anaknya pada pertemuan ketiga, barulah dia membuka cerita dan membenarkan penulis memaparkan kisahnya di Sinar Harian.

Bayangkan di zaman serba moden ini, keluarga itu tinggal di rumah yang tidak ubah seperti pondok tanpa bekalan air dan elektrik.

Lebih meruntun hati, mereka anak beranak buang air besar dan kecil di sekeliling rumah. Sebaik laporan berita sedih itu dipapar dalam akhbar, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghubungi penulis dan memberitahu akan ke rumah keluarga itu untuk berbuka puasa.

Tidak dapat dibayangkan perasaan wanita itu apabila ramai tetamu bertandang ke pondoknya pada jam 7.15 malam, hampir waktu berbuka puasa. Pada awalnya makanan tidak dibawa turun dari kereta, namun apabila pegawai zakat keluarkan makanan dan tibanya waktu berbuka puasa, kuih buah Melaka yang penulis panggil onde-onde sejak kecil jatuh bergolek-golek di atas lantai.

Mungkin tidak pernah dijamah sebelum ini, anak-anak kecil ini begitu teruja dan tidak sabar hingga kuih-kuih terlepas daripada pegangan. Keletah mereka membuatkan penulis menitiskan air mata ketika azan Maghrib berkumandang.

Begitu prihatinnya LZS, keluarga ini diberi bantuan rumah baharu dan lain-lain bantuan termasuk persekolahan, kewangan dan hari raya sehingga ke hari ini.

Sering kita dengar apabila ada kes masyarakat yang hidup susah dan daif menjadi tular di media sosial, ramai yang menghentam dan mengecam peranan agensi zakat.

Penulis yakin, agensi-agensi seperti LZS atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pasti akan membantu sekiranya diberikan maklumat tepat mengenai sesuatu kes.

Di Selangor, LZS mengagihkan RM829,878,020 wang zakat kepada lapan penerima zakat termasuk miskin, fisabilillah, fakir, amil, gharim, mualaf, riqab, dan ibnu sabil sepanjang tahun lalu.

Hari ini nasib wanita malang itu telah terbela. Masih ramai lagi yang senasib dengannya yang memerlukan bantuan.

Bagi penulis, tidak perlulah kita sibuk mempertikai ke mana wang zakat dibelanjakan? Lihatlah diri kita yang berkemampuan, adakah kita sudah mengeluarkan zakat? Jangan pula buat-buat tak tahu bayar zakat bukan sekadar RM7 zakat fitrah menjelang Syawal sedangkan ada beberapa jenis lagi zakat diwajibkan ke atas kita sekiranya mampu.

* Nur Farhana Abdul Manan ialah Ketua Wartawan Edisi Selangor/KL