Esscom wujud, jenayah rentas sempadan di Esszone menurun

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) membawa impak positif dengan penurunan kadar jenayah rentas sempadan berbanding sebelum penubuhannya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Esscom merupakan mekanisme penting dalam menerajui jentera hadapan keselamatan di daerah dan sekitar perairan Esszone yang sentiasa terdedah kepada ancaman.

"Adanya Esscom turut memberi keyakinan kepada rakyat mengenai peningkatan tahap keselamatan di Sabah dan keharmonian rakyat terjamin.

Kehadiran Esscom juga sekali gus merupakan gambaran bahawa kerajaan berusaha menangani masalah keselamatan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali sempena majlis perjumpaan penjawat awam persekutuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Esscom, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata media memainkan peranan penting memberikan maklumat tepat dan cepat kepada rakyat.

Katanya, berita yang disampaikan itu juga perlu bersifat memupuk keamanan, menjaga keharmonian, mengelakkan konflik sekali gus menentang berita palsu yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara.

"Pihak media haruslah membina satu pemahaman umum mengenai prinsip utama pihak keselamatan dalam melaksanakan operasi keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Misalnya, berita perintah berkurung yang dikuatkuasakan di kawasan Esszone (penyampaiannya) haruslah difahami umum tentang tujuan pelaksanaannya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Komander Esscom, Datuk DCP Hazani Ghazali menyarankan media seeloknya membuat pengesahan dengan pihak berkuasa tempatan sebelum suatu isu disebarkan kepada umum.

“Janganlah ada pihak-pihak yang memanipulasi isu keselamatan sehingga menimbulkan rasa takut dan tidak selesa di kalangan rakyat,” katanya lagi.- Bernama